ORANG ramai tidak menyedari jerung berada berdekatan ketika berenang. FOTO Agensi
ORANG ramai tidak menyedari jerung berada berdekatan ketika berenang. FOTO Agensi
Agensi

Perth: Seekor jerung besar dilihat berenang dekat dengan pesisir Pantai Mullaloo di bandar Perth, Australia menyebabkan pantai itu ditutup sementara.

Kehadiran pemangsa itu menyebabkan pengunjung diarah beredar dari kawasan pantai popular berkenaan selepas jerung harimau sepanjang 2.5 meter itu dilihat sekitar tengah hari pada Isnin lalu.

Portal Sky News melaporkan, pantai itu sangat sibuk sewaktu keberadaan pemangsa disedari kerana pada masa ini cuti sekolah musim panas yang panjang di Australia.

Rakaman udara melalui dron menunjukkan jerung itu berkeliaran di pinggir pantai, hanya beberapa meter dari pengunjung yang sedang asyik berenang tanpa menyedari jerung harimau yang terkenal kerap menyerang dan membunuh manusia itu.

Video itu dirakam oleh penduduk Perth, Toby Nicol, yang berkata: "Kami menamakannya Trevor. Jerung itu menggunakan kawasan cetek di pantai utara Perth selama sebulan sekarang dan mempunyai banyak pertemuan rapat dengan manusia."

Ia adalah kali kedua pantai itu terpaksa ditutup dalam masa kurang daripada seminggu selepas sebelum ini seekor jerung dilihat sepanjang garis pantai pada 5 Januari.

Australia Barat memang sudah tidak asing lagi dengan kehadiran jerung di perairannya dan beberapa sudah beberapa kes serangan berlaku membabitkan ikan itu terhadap manusia.

Pada Oktober tahun lalu, seorang lelaki hampir kehilangan tangannya selepas diserang oleh spesies jerung ketika mangsa sedang menombak ikan di pantai dekat Port Hedland di pantai bahagian utara negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 12:06 PM