MASJIDILHARAM. FOTO fail AFP
MASJIDILHARAM. FOTO fail AFP
Agensi

Jakarta: Kuota haji untuk Indonesia tahun ini semakin bertambah kepada 221,000 jemaah.

Ia selepas kata sepakat dipersetujui antara Indonesia dan kerajaan Arab Saudi, lapor Kompas.

Sebagai perbandingan, kuota haji untuk jemaah Indonesia pada tahun lalu adalah 100,051 orang.

Perjanjian itu ditandatangani Menteri Agama, Yaqut Cholil Qoumas dan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Tawfiq F Al Rabiah di Jeddah.

Kuota itu membabitkan 203,320 jemaah haji biasa dan 17,680 jemaah haji khusus, manakala untuk petugas adalah 4,200 orang.

Yaqut berkata, perjanjian itu juga membabitkan urusan pendaratan pesawat di Jeddah dan Madinah serta beberapa langkah terbaharu dalam ibadah haji.

"Perjanjian itu juga turut menyentuh isu had umur sebelum ini kerajaan Arab Saudi menetapkan syarat umur jemaah haji perlu di bawah 65 tahun.

"Jadi, menerusi perjanjian ini, syarat itu dihapuskan bagi membolehkan jemaah 65 tahun ke atas juga boleh berangkat menunaikan haji tahun ini," katanya.

Sebelum ini, Yaqut turun melihat sendiri persiapan ibadah haji dalam Muktamar Haji yang dikendalikan Arab Saudi bagi memohon kuota tambahan Indonesia.

Katanya, giliran menunggu rakyat Indonesia adalah terlalu lama.

"Jadi dengan adanya kuota tambahan kita harap dapat mengurangkan lagi senarai menunggu.

"Namun, sudah tentu ini bergantung kepada kebaikan hati Raja Salman, Putera Muhammad Salman dan Menteri Haji (dan Umrah) Arab Saudi," katanya.

Sementara itu, Tawfiq berkata, pihaknya berbesar hati dapat memberikan kuota tambahan kepada Indonesia kerana negara itu antara yang penting bagi Arab Saudi.

"Indonesia memang akan selalu dapat keutamaan dalam memperoleh kuota tambahan.

"Mungkin ada negara yang terpaksa dikurangkan kuota jemaahnya bagi membolehkan Indonesia menerima kuota lebih," katanya.

Katanya, haji tahun ini tiada lagi muassasah, sebaliknya urusan haji dilakukan syarikat atau industri.

"Tahun ini enam syarikat akan melaksanakan urusan ibadah haji. Jadi, setiap negara termasuk Indonesia sendiri boleh memilih syarikat masing-masing," katanya.

"Syarikat ini akan hadir dalam Muktamar Haji hari ini bagi memastikan setiap negara membuat penilaian terhadap mereka.

"Saya menasihatkan, perjanjian perlu dibuat dengan terperinci supaya setiap negara mendapat hak sewajarnya serta berguna jika ada pelanggaran kontrak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 11:16 AM