IDRIS (kiri)  mengadakan pertemuan dengan Taufiq (kanan) ketika  menghadiri jemputan Persidangan dan Pameran Haji dan Umrah di Jeddah. FOTO Facebook Idris Ahmad
IDRIS (kiri) mengadakan pertemuan dengan Taufiq (kanan) ketika menghadiri jemputan Persidangan dan Pameran Haji dan Umrah di Jeddah. FOTO Facebook Idris Ahmad
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kerajaan mengemukan permohonan kepada kerajaan Arab Saudi untuk membenarkan sebanyak mungkin jemaah haji Malaysia menunaikan ibadah haji tahun ini mengikut jumlah kuota yang diberikan sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Idris Ahmad berkata, kerajaan memahami sebarang keputusan yang akan diambil oleh Kerajaan Arab Saudi bagi musim haji tahun ini dengan mengambil kira situasi semasa.

Katanya,kerajaan juga akan memastikan ibadat haji jemaahMalaysia dapat dilaksanakan dengan teratur dan mematuhi sepenuhnya protokol kesihatan serta prosedur operasi standard (SOP) berkaitan operasi haji yang akan ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

"Kerajaan Arab Saudi turut memuji pengurusan Tabung Haji Malaysia dalam menguruskan haji sebelum ini dan berharap menjadi contoh dan ikutan kepada negara lain," katanya melalui kenyataan di Facebook.

Kenyataan Idris itu merujuk kepada pertemuan beliau dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr TaufiqFawaan Al-Rabiah atas jemputan menghadiri Persidangan dan Pameran Haji dan Umrah di Jeddah semalam.

Idris berkata, beliau amat berbesar hati dan menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Arab Saudi di bawah kepimpinan Khadim Al Haramain Al Syarifain Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud serta Putera Mahkota Mohammad Salman yang banyak melaksanakan penambahbaikan dan kemudahan untuk memastikan keselesaan dan keselamatan Tetamu Allah ketika menunaikan haji.

Menurutnya, beliau memahami tanggungjawab dan cabaran yang digalas oleh Kerajaan Arab Saudi dalam menangani wabak Covid-19 ketika ini bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan umat Islam sejagat.

"Semoga segala usaha murni menyantuni para Dhuyufurrahman ini diterima oleh Allah SWT sebagai amal khair.

"Saya juga berbesar hati untuk memaklumkan kepada Dr TaufiqFawaan Al-Rabiah bahawa Kerajaan Malaysia akan menyambut baik sebarang keputusan Kerajaan Arab Saudi untuk membenarkan semula jemaah haji daripada luar negara datang ke Tanah Suci menunaikan ibadat haji," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 12:02 PM