SEBUAH tinggi di Busan itu akan mengkhusus dalam mendidik pelajar untuk pembelajaran dan persembahan berkaitan K-pop. FOTO AFP
SEBUAH tinggi di Busan itu akan mengkhusus dalam mendidik pelajar untuk pembelajaran dan persembahan berkaitan K-pop. FOTO AFP
Agensi

Seoul: Sebuah sekolah tinggi yang mengkhusus dalam pembelajaran dan persembahan berkaitan K-pop akan dibuka di Busan, bandar kedua terbesar di Korea Selatan.

The Straits Times yang memetik media Korea Selatan melaporkan, sekolah itu dijangka memulakan operasi menjelang 2028, menurut pengumuman pihak berkuasa pendidikan bandar itu Jumaat lalu.

Pihak sekolah akan menyediakan pelajaran vokal, tarian, karangan dan penulisan lagu berkualiti yang diajar oleh fakulti K-pop daripada tenaga pengajar yang berpengalaman.

Penguasa pendidikan di Busan, Ha Yoon-su dalam taklimatnya berkata, pelajar antarabangsa juga layak untuk membuat permohonan kemasukan.

Seorang pegawai Kerajaan Metropolitan Busan memberitahu The Korea Herald bahawa pihaknya sedang mengkaji beberapa pilihan untuk lokasi sekolah itu.

"Ia berkemungkinan sebuah sekolah kosong pada masa ini di kawasan Gangseo-gu di Busan," kata pegawai itu.

Pembinaan dengan infrastruktur bersesuaian dijadualkan bermula pada Januari 2027, dengan sekolah itu dijangka dibuka pada Mac 2028.

"Sekolah ini masih dalam peringkat awal perancangan," tambah pegawai itu.

Pihak berkuasa bercadang untuk mewujudkan pasukan petugas untuk sekolah. Butiran termasuk saiz dan kurikulumnya akan diputuskan kemudian.

Jika direalisasikan, ia akan menjadi sekolah awam pertama yang didedikasikan untuk K-pop di Busan.

Terdahulu, Sekolah Tinggi Pop Korea dan Seni Persembahan, sekolah menengah K-pop pertama Korea Selatan dibuka di wilayah Chungcheong Selatan pada 2020.

Selain itu, ada juga ahli kumpulan K-pop yang belajar di Sekolah Seni Persembahan, iaitu sebuah sekolah swasta di Seoul.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 12:35 PM