Foto hiasan AP
Foto hiasan AP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dasar sifar Covid-19 yang diguna pakai kerajaan China walaupun menerima bantahan rakyatnya dan kecaman dunia luar, ia merupakan pendekatan terbaik dalam melindungi rakyat negara itu terutama golongan berisiko seperti warga emas, kata Pakar Geostrategi Prof Dr Azmi Hassan.

Azmi yang juga felo kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) berkata di negara berkenaan kini terdapat lebih 250 juta penduduk berusia lebih 60 tahun dan jika jangkitan berleluasa ia membawa risiko besar kepada golongan itu.

"Kita sedia maklum, jumlah populasi di China adalah tertinggi di dunia iaitu 1.4 billion penduduk, jika tiada langkah yang betul… jumlah kematian mampu mencapai sehingga 1 juta orang.

"Walapun dasar ketat China ini tidak popular, ia berjaya mengawal jumlah kematian akibat Covid-19 kepada paras terendah sekitar 5,000 kematian sejak pandemik ini menyerang dunia," katanya.

Pada akhir November lepas, beberapa siri bantahan berkenaan dasar itu berlaku di beberapa bandar utama di China yang menyebabkan kerajaan negara itu telah melonggarkan sekatan yang dikenakan sebelum ini.

Sebelum ini, sekatan di bawah dasar sifar Covid-19 'mengurung' berjuta-juta orang di dalam rumah, yang membawa kesan buruk kepada ekonomi dan menjejaskan kehidupan harian orang ramai.

China dikatakan mengambil langkah tegas itu dalam mengekang penularan Covid-19 kerana kadar vaksinasi yang masih rendah dan "pengurungan" penduduk dilihat sebagai cara paling berkesan dalam menghentikan dengan cepat penularan wabak itu.

"Apabila dilonggarkan sedikit maka China akan menghadapi risiko yang amat tinggi apabila jangkitan Covid-19 berleluasa. Adalah amat penting bagi penduduk negara itu meningkatkan kesedaran mendapatkan vaksinasi dengan segera," katanya.

Beliau menambah dengan melonggarkan sebahagian sekatan itu, kesejahteraan dan ekonomi penduduk akan kembali meningkat seperti sediakala dalam masa terdekat.

Antara sebahagian sekatan dasar sifar Covid-19 yang dilonggarkan adalah dengan membenarkan penduduk dijangkiti menjalani kuarantin di rumah.

Chaoyang bakal menjadi bandar pertama melaksanakan kaedah baharu itu, yang mana penduduk dijangkiti tidak perlu lagi dipindahkan ke pusat kuarantin di bawah kerajaan.

Peraturan baharu akan membenarkan penduduk menjalani kuarantin di rumah setelah menandatangani sepucuk surat dengan syarat tidak akan keluar semasa tempoh berkenaan, serta pengimbas dipasang pada pintu rumah mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 6:06 PM