PETUGAS di pusat saringan Covid-19 menunggu ketibaan pengembara dari China di Lapangan Terbang Charles-de-Gaulle, Paris. FOTO AFP
PETUGAS di pusat saringan Covid-19 menunggu ketibaan pengembara dari China di Lapangan Terbang Charles-de-Gaulle, Paris. FOTO AFP
AP

Beijing: Australia dan Kanada mengikut jejak langkah beberapa negara lain yang mewajibkan pelawat dari China untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum menaiki penerbangan.

Pihak berkuasa kesihatan Australia pada Ahad memaklumkan, mulai 5 Januari, semua pelawat dari Tanah Besar China, Hong Kong atau Macau yang datang menaiki pesawat perlu menunjukkan ujian negatif Covid-19 yang diambil dalam masa dua hari sebelum berlepas.

Pihak berkuasa Kanada turut mengumumkan langkah serupa yang juga akan berkuat kuasa 5 Januari dalam satu kenyataan, Sabtu lalu.

Australia dan Kanada menyertai negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), India, Jepun dan beberapa negara Eropah dalam mengenakan saringan Covid-19 lebih ketat ke atas pelancong China.

Ia di tengah-tengah kebimbangan mengenai kekurangan data mengenai angka jangkitan di negara itu dan kebimbangan kemungkinan varian baharu mungkin merebak.

China, sebelum ini, menggunakan strategi sifar-Covid dengan mengenakan sekatan keras yang bertujuan untuk menghapuskan virus itu, namun secara tiba-tiba melonggarkan langkah berkenaan pada bulan lalu.

Pihak berkuasa China sebelum ini berkata, mulai 8 Januari, pelancong luar negara tidak lagi perlu dikuarantin apabila tiba di China, membuka laluan kepada penduduk China untuk melakukan perjalanan.

Hong Kong juga sedang bersedia untuk perjalanan tanpa kuarantin ke China, dengan rancangan untuk menyambung semula operasi lebih banyak pusat pemeriksaan sempadan seawal 8 Januari berdasarkan hantaran di Facebook (FB) oleh Ketua Setiausaha Hong Kong Eric Chan.

"Bergantung pada fasa pertama keadaan, kami akan secara beransur-ansur mengembangkan skala untuk pembukaan semula sepenuhnya sempadan," kata Chan.

Di China, sekatan yang dilonggarkan bermakna penduduk boleh menyambut tahun baharu dalam perhimpunan besar-besaran walaupun negara itu mengalami wabak kes yang besar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 11:01 AM