GALAKSI putar roda atau Cartwheel Galaxy dirakam menerusi Teleskop Angkasa James Webb. FOTO
GALAKSI putar roda atau Cartwheel Galaxy dirakam menerusi Teleskop Angkasa James Webb. FOTO
Agensi

Washington: Enam galaksi yang terlalu besar sehingga saintis mengatakan ia tidak sepatutnya wujud, dikesan oleh Teleskop Angkasa James Webb milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa).

Portal The National News melaporkan, pasukan astrofizik antarabangsa menemui objek misteri ketika kajian di Universiti Colorado Boulder di Boulder, Colorado, Amerika Syarikat (AS).

Pasukan itu mendapati setiap satu galaksi itu mungkin wujud pada awal alam semesta lebih daripada 13 bilion tahun lalu, kira-kira 500 hingga 700 juta tahun selepas Big Bang (letupan besar).

Ia mengandungi hampir sama banyak bintang seperti galaksi Bima Sakti.

"Galaksi ini sepatutnya tidak mempunyai masa untuk terbentuk," kata Erica Nelson, pengarang bersama penyelidikan dan penolong profesor astrofizik di universiti itu.

Penemuan itu diterbitkan dalam jurnal Nature pada 22 Februari lalu.

Teleskop Angkasa James Webb, yang dilancarkan pada Disember 2021 adalah teleskop paling berkuasa pernah dihantar ke angkasa lepas.

Penemuan terbaru itu bukanlah galaksi terawal yang muncul.

Tahun lalu, sebuah pasukan melihat empat galaksi yang dikatakan terbentuk daripada gas kira-kira 350 juta tahun selepas Big Bang.

Objek itu adalah kecil berbanding dengan galaksi baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 12:42 PM