GUSTIN bersama anjing peliharaannya berbaka Belgian Shepherd dan German Sherpherd. FOTO Recqueal Raimi
GUSTIN bersama anjing peliharaannya berbaka Belgian Shepherd dan German Sherpherd. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi

Tuaran: Salakan kuat anjing German Shepherd menyelamatkan seorang guru daripada menjadi mangsa patukan ular tedung dalam kejadian di halaman rumahnya di Kampung Kelawat, Jalan Tamparuli-Ranau di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa Gustin Riboh, 48, hanya menyedari kehadiran seekor ular selepas mendengar salakan kuat anjing peliharaannya.

“Ketika itu saya berjalan berhampiran pokok bunga di halaman rumah.

“Namun, anjing yang saya namakan Big Teddy menyalak dengan kuat sebelum seekor ular tedung berwarna hitam sepanjang tiga meter muncul di sebalik pokok bunga,” katanya.

Menurut Gustin, dia segera menjauhkan diri tetapi ular itu agresif dengan meninggikan kepalanya dan cuba mematuk.

DUA anjing baka Belgian Shepherd yang membantu Big Teddy. FOTO Recqueal Raimi
DUA anjing baka Belgian Shepherd yang membantu Big Teddy. FOTO Recqueal Raimi

“Saya panik ketika itu, bagaimanapun Big Teddy yang berada berhampiran segera menerkam ular berkenaan.

“Dua lagi anjing peliharaan saya berbaka anjing Belgian Shepherd datang memberi bantuan kepada Big Teddy dan menerkam serta mengigit ular itu sehingga putus,” katanya.

Gustin berkata, dia bersyukur kerana anjing yang dipeliharanya sejak enam tahun lalu itu menyelamatkannya daripada bahaya.

“Mujur ketiga-tiga anjing itu ada dan saya bernasib baik diselamatkan walaupun jarak saya dengan ular ketika itu hanya dua langkah saja.

“Saya rasa bertuah dan menganggap haiwan peliharaan itu adalah keluarga saya sendiri,” katanya.

ULAR tedung putus dua selepas digigit anjing peliharaan Gustin. FOTO Recqueal Raimi
ULAR tedung putus dua selepas digigit anjing peliharaan Gustin. FOTO Recqueal Raimi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 6:01 AM