Lukas Enembe. - FOTO Reuters
Lukas Enembe. - FOTO Reuters
Reuters

Jakarta: Agensi antirasuah Indonesia menahan gabenor Papua, Lukas Enembe, hari ini selepas beliau menerima rasuah sebagai balasan untuk kontrak infrastruktur, kata pegawainya.

Minggu lalu Enembe dituduh oleh Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) mengambil 1 bilion rupiah (RM281,646) daripada sebuah firma pembinaan untuk konsesi termasuk jalan dan kemudahan di sebuah prasekolah.

Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan berkenaan.

Enembe adalah seorang ahli politik tempatan terkemuka yang bertelagah dengan kerajaan pusat mengenai dasar-dasarnya di wilayah autonomi khas.

Menurut jurucakap KPK, Ali Fikri, kepada Metro TV, beliau diterbangkan ke ibu kota Jakarta untuk disoal siasat.

Peguam Enembe mengesahkan penahanan itu dan memberitahu Reuters, anak guamnya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Ketegangan memuncak selama beberapa dekad di Papua yang kaya dengan sumber, di mana perjuangan menuntut kemerdekaan telah dilancarkan sejak pengilhakan pada 1969 oleh Indonesia.

Indonesia menguasai wilayah itu dengan cara paksa pada 1963.

Secara rasmi, Indonesia menguasai Papua pada 1969 dengan mendapat undian sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ia dianggap sebagai palsu.

Rakaman daripada berita tempatan menunjukkan pergelutan antara anggota keselamatan dan beberapa individu yang berkumpul di luar balai polis, lokasi awal Enembe ditahan.

Beberapa aktivis percaya beliau menjadi sasaran kerajaan kerana menentang pembentukan wilayah baharu di wilayah Papua.

Ketua Menteri Keselamatan, Mahfud MD berkata siasatan terhadap Enembe tidak bermotifkan politik.

Pengkritik bimbang wilayah baharu, yang diluluskan Parlimen, boleh menjejaskan penduduk pribumi di kawasan itu dan mengancam kuasa autonomi khas Papua.

Enembe didakwa terlibat dalam salah urus dana dan pengubahan wang haram "ratusan bilion" rupiah, kata Mahfud pada September, memetik analisis daripada Pusat Laporan dan Analisis Transaksi Kewangan negeri.

Enembe telah menolak dakwaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 7:06 PM