GEMPA bumi berukuran  magnitud 6.3 menggegarkan Papua, timur Indonesia semalam, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan. FOTO Agensi
GEMPA bumi berukuran magnitud 6.3 menggegarkan Papua, timur Indonesia semalam, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan. FOTO Agensi
AFP

JAKARTA: Gempa bumi berukuran magnitud 6.3 menggegarkan Papua, timur Indonesia semalam, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan, kata pakar seismologi Amerika Syarikat.

AFP yang memetik Pusat Tinjauan Geologi AS (USGS), gempa terbabit melanda kira-kira 250 kilometer barat bandar Abepura di wilayah Papua pada jam 12.46 tengah malam (waktu tempatan) pada kedalaman 12 kilometer.

Bagaimanapun tiada laporan kematian diterima susulan kejadian berkenaan.

Indonesia kerap mengalami gegaran seismik dan aktiviti gunung berapi berikutan kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik, di mana plet tektonik bertembung.

Tahun lalu, gegaran gempa bumi berukuran magnitud 7.5 yang kemudiannya mencetuskan tsunami di Palu menyebabkan lebih 2,200 orang terkorban manakala ribuan lagi disahkan hilang.

Pada 26 Disember 2004 pula, satu gegaran kuat berukuran magnitud 9.1 melanda wilayah Aceh yang menyebabkan tsunami hingga meragut nyawa lebih 170,000 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 10:38 AM