GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

Jakarta: Gempa bumi dengan kekuatan 6.0 skala Richter melanda pantai Pulau Jawa hari ini, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa yang melanda dengan kedalaman 82 kilometer itu berlaku kira-kira 45 kilometer di barat daya kota Malang di Jawa Timur.

Tidak ada sebarang laporan mengenai kemalangan jiwa dilaporkan di Malang, sebuah kota yang dihuni berjuta-juta penduduk.

"Ia cukup kuat dan berlangsung agak lama. Semuanya bergoncang," kata penduduk, Ida Magfiroh kepada AFP.

Indonesia kerap mengalami aktiviti gunung berapi kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik, di mana plet tektonik bertembung.

Pada 2018, gempa berkekuatan 7.5 dan diikuti tsunami di Palu, di pulau Sulawesi menyebabkan lebih 4,300 orang mati atau hilang.

Pada 26 Disember 2004, gempa dahsyat berukuran 9.1 skala Richter melanda pantai Sumatera dan mencetuskan tsunami yang mengorbankan 220,000 di seluruh wilayah, termasuk kira-kira 170,000 orang di Indonesia yang dianggap antara bencana alam paling teruk dalam sejarah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 7:33 PM