Reuters

Noida, India: Beribu-ribu orang diarah mengosongkan pangsapuri mereka di pinggir ibu kota India, New Delhi selama kira-kira 10 jam pada Ahad, bagi memberi laluan kepada operasi merobohkan dua bangunan pencakar langit yang dibina secara haram.

Puluhan anggota polis dan kecemasan telah dikerahkan untuk operasi itu, dijangka mengambil masa sembilan hingga 15 saat, di menara setinggi 103 meter, yang mempunyai 850 pangsapuri tidak berpenghuni.

Trafik dilencongkan di sekitar menara Apex dan Ceyane di pinggir lebuh raya sibuk yang menghubungkan negeri paling ramai penduduk India, Uttar Pradesh, ke ibu negara.

Mahkamah Agung tahun lalu mengarahkan untuk merobohkan menara di kawasan Noida selepas perbicaraan yang panjang mendapati mereka melanggar beberapa peraturan bangunan dan norma keselamatan kebakaran.

Lebih 3,700 kg bahan letupan akan digunakan sekitar jam 2.30 petang untuk memusnahkan blok apartmen melalui perobohan terkawal, kata pegawai kepada saluran berita tempatan.

Bangunan-bangunan itu akan runtuh selepas bahan letupan yang diletakkan secara strategik diletupkan, memastikan kerosakan minimum pada kawasan kediaman.

Namun, beberapa keluarga berpindah ke tempat selamat pada Sabtu, bimbang pencemaran yang semakin meningkat dan bahaya kesihatan daripada serpihan besar itu.

Sudeep Roy, pemilik pangsapuri empat bilik di bangunan rendah berhampiran berkata dia menempah bilik hotel minggu lalu untuk bermalam bersama keluarga dan rakan-rakan.

"Adalah yang terbaik untuk menjauhi lokasi letupan selama 24 jam kerana udara akan menjadi toksik dan kita tidak tahu bagaimana ia boleh memberi kesan kepada kesihatan kita," kata Roy, seorang jurutera mekanikal dan bapa kepada anak kembar lelaki, salah seorang daripadanya menderita asma.

Letupan itu akan meninggalkan lebih 80,000 tan runtuhan, kebanyakannya akan digunakan untuk mengisi tapak dan selebihnya untuk dikitar semula.

Beberapa bangunan di sekitarnya ditutup dengan kepingan plastik putih untuk melindunginya daripada serpihan yang berterbangan selepas perobohan.

Penduduk berkata mereka bimbang kerosakan harta benda akibat letupan, kejadian yang jarang berlaku di India walaupun pembinaan haram berleluasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 4:02 PM
Bangunan Menara Berkembar Supertech yang bakal dirobohkan kerana melanggar peraturan. - FOTO Reuters
Bangunan Menara Berkembar Supertech yang bakal dirobohkan kerana melanggar peraturan. - FOTO Reuters