Penduduk melihat kerosakan yang berlaku akibat banjir di Quetta, Pakistan. - FOTO EPA
Penduduk melihat kerosakan yang berlaku akibat banjir di Quetta, Pakistan. - FOTO EPA
AFP

Islamabad: Helikopter tentera Pakistan membawa enam pegawai kerajaan termasuk komander kanan yang terbabit dalam misi bantuan banjir di barat daya negara itu, dilaporkan hilang semalam.

Menurut kenyataan daripada pihak tentera, mereka terbabit dalam usaha menyelamat dan bantuan di Lasbela, Balochistan.

Dilaporkan enam pegawai yang berada di atas helikopter itu, termasuk Komander 12 Kor yang menyelia operasi bantuan banjir di Balochistan.

Komander itu, Lt Jeneral Sarfraz Ali, adalah pegawai tertinggi tentera di rantau terbabit dan salah seorang yang paling kanan dalam tentera.

"Helikopter penerbangan tentera Pakistan yang dalam operasi bantuan banjir di kawasan terjejas terputus hubungan dengan kawalan trafik udara," katanya.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak memberikan butiran mengenai kemungkinan yang berlaku kepada helikopter terbabit.

Hujan monsun luar biasa dan banjir yang mengorbankan ratusan penduduk, melanda Pakistan tahun ini, khususnya di wilayah Balochistan.

Operasi mencari sedang giat dijalankan untuk menjejaki helikopter yang menurut pegawai kanan polis tempatan kepada AFP, sudah hilang sekurang-kurangnya enam jam.

Menurut pegawai polis, Pervaiz Umrani, polis, tentera dan pegawai penyelamat tempatan sedang berusaha dalam operasi mencari serta menyelamat helikopter itu.

Sementara itu, Perdana Menteri, Shehbaz Sharif, yang berada di wilayah terbabit semalam bagi memantau aktiviti menyelamat, menyifatkan kejadian berkenaan sebagai 'membimbangkan'.

"Seluruh negara kini berdoa kepada Allah SWT untuk keselamatan dan kepulangan wira negara ini yang keluar membantu mangsa banjir," katanya melalui Twitter.

Shehbaz sebelum ini mengkritik pegawai awam wilayah berikutan kekurangan bantuan bagi mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir.

Banjir monsun, yang bermula pada pertengahan Jun lalu, membunuh sekurang-kurangnya 478 orang setakat ini, dengan sekurang-kurangnya 136 maut di Balochistan sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 5:46 PM