YING ketika bersiaran langsung melaporkan berita pembunuhan Shinzo Abe. FOTO Twitter
YING ketika bersiaran langsung melaporkan berita pembunuhan Shinzo Abe. FOTO Twitter
Agensi

Beijing: Seorang wartawan China cuba membunuh diri kerana tertekan dengan kecaman teruk diterima daripada rakyat negaranya selepas beremosi ketika melaporkan berita pembunuhan Shinzo Abe.

Zeng Ying dikritik netizen China di media sosial selepas menangis teresak-esak ketika laporan langsung kematian Abe yang juga bekas perdana menteri Jepun, awal bulan lalu.

Wanita itu juga didesak memohon maaf kerana dianggap tidak profesional apabila menunjukkan emosi peribadi secara terbuka dan mengguriskan perasan orang ramai.

DDBK, syarikat diasaskan Ying berpangkalan di Tokyo berkata, wanita itu mengalami 'penderitaan fizikal dan psikologi yang mendalam', lapor South China Morning Post.

Berdasarkan perkongsian di Weibo, China menganggap Abe sebagai tokoh yang memecahbelahkan dan lebih tidak disukai apabila melawat Yasukuni, kuil yang menghormati mangsa perang Jepun, termasuk mereka yang melakukan jenayah perang di China.

Ramai netizen China menganggap emosi ditunjukkan Ying ketika siaran langsung untuk rangkaian media Shanghai, The Paper sebagai 'tidak profesional' dan 'tidak patriotik'.

"Saya bingung melihat awak menangis. Adakah awak orang China," tulis pengguna Weibo yang ditujukan kepada Ying.

Pengguna lain pula memberi komen, "Anda menangis kerana sayap kanan Jepun yang tidak menghormati sejarah penjajahan China, seorang Jepun yang tidak menghormati orang China!"

Awal minggu lalu, rakan Ying, Chen Lan berkongsi nota bunuh diri yang didakwa ditulis wartawan itu di akaun Weibo miliknya serta mengesahkan Ying dimasukkan ke hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 7:01 AM