AFP

Tokyo: Rakyat Jepun membuang undi hari ini bagi pilihan raya dewan tinggi, dua hari selepas bekas perdana menterinya, Shinzo Abe maut dibunuh ketika sedang berkempen.

Pilihan raya itu yang dijangka menambah majoriti Parti Demokratik Liberal pimpinan Abe dibayangi kes pembunuhan berkenaan, namun Perdana Menteri Fumio Kishida dan ahli politik lain bertekad bahawa ia bukan penghalang proses demokrasi.

"Kita tidak boleh sekali-kali membenarkan keganasan menyekat ucapan semasa pilihan raya, yang merupakan asas demokrasi," kata Kishida pada Sabtu, ketika berkempen di seluruh negara.

Beliau turut meluangkan masa untuk memberi penghormatan terakhir kepada Abe di rumah keluarga mendiang di Tokyo selepas mayat tiba dari sebuah hospital di barat Jepun, semalam.

Pembunuhan pada pagi Jumaat itu menggemparkan Jepun dan mengejutkan seluruh dunia yang bersimpati dengan apa berlaku, termasuk negara yang mempunyai hubungan sukar dengan Abe seperti China dan Korea Selatan.

Tetsuya Yamagami, 41, yang dalam tahanan reman kerana disyaki membunuh Abe dilapor memberitahu penyiasat tujuannya menembak mati pemimpin itu.

Lelaki itu didakwa menyasarkan Abe kerana percaya beliau adalah ahli politik yang dikaitkan dengan organisasi tidak dinamakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 12:54 PM