GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Islamabad: Polis Pakistan menahan dua individu selepas seorang wanita Amerika Syarikat (AS) melaporkan dia dirogol sekumpulan individu di sebuah hotel di Multan.

Wanita berusia 21 tahun itu mendakwa dirogol ketika sedang bercuti di sebuah resort yang terletak di timur wilayah Punjab, kata pegawai pada Rabu.

Suspek termasuk seorang wanita itu dikatakan menghantar mangsa ke hotel di Dera Ghazi Khan, sebelum dia diserang secara seksual menurut laporan polis.

Wanita itu tiba di Pakistan, tiga minggu lalu, namun identiti mangsa tidak didedahkan.

Polis memaklumkan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagaimana wanita itu dibawa ke hotel sehingga dirogol seorang daripada lelaki yang menghantarnya.

Wanita itu dikatakan tinggal selama lima hari di rumah seorang daripada penyerang.

Kedutaan AS di Islamabad berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kejadian dan sudah menghantar konsulat di Lahore untuk bantuan lanjut.

"Perlindungan terhadap rakyat AS di luar negara akan tetap menjadi keutamaan tertinggi Jabatan Negara dan kedutaan serta konsulat.

"Untuk melindungi privasi mangsa, kami tidak boleh mendedahkan identitinya dan mengulas lanjut mengenai tuduhan itu," katanya.

Penderaan seksual terhadap wanita Pakistan bukan perkara baharu namun kejadian membabitkan wanita asing sangat jarang berlaku.

Ramai wanita Pakistan tidak melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa untuk mengelak stigma negatif masyarakat terhadap mangsa rogol.

Ini kerana perogol sering terlepas daripada hukuman ekoran kelemahan sistem perundangan dan siasatan yang dijalankan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 10:54 AM