GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Azizah Mokhtar


KAKITANGAN dan pelawat di pejabat Kedutaan Vietnam di Persiaran Stonor, Kuala Lumpur gempar selepas seorang wanita warga Vietnam bertindak menikam dirinya dengan pisau, kelmarin.

Dalam kejadian pada 11.30 pagi itu, wanita, 37, itu pada mulanya datang ke pejabat kedutaan terbabit untuk bertanya mengenai dokumen perjalanannya.

Mangsa kemudian diminta masuk ke pejabat konsulat kedutaan untuk berbincang mengenai borang pas keluar ke negara asalnya sebelum timbul ketegangan di antara mereka.

Wanita itu kemudian bertindak agresif apabila marah dan menjerit ke arah kakitangan terbabit sebelum mengeluarkan sebilah pisau dari dalam beg dibawanya lalu menikam dada kirinya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, beberapa kakitangan dan pelawat di kedutaan terbabit bertindak menghantar mangsa ke hospital dengan menggunakan kereta.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada 1 tengah hari. Siasatan kes masih diteruskan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 6:22 PM