MURID sekolah menangis ketakutan ketika dibawa keluar dari sekolah mereka berhampiran konsulat Pakistan yang dibom di Jalalabad.
MURID sekolah menangis ketakutan ketika dibawa keluar dari sekolah mereka berhampiran konsulat Pakistan yang dibom di Jalalabad.

Jalalabad (Afghanistan): Satu serangan pengeboman berani mati diikuti tembak menembak tercetus berhampiran konsulat Pakistan di Jalalabad, menyebabkan tujuh polis dan tiga penyerang terbunuh.

Satu kenyataan IS dalam bahasa Arab di Twitter mengatakan dua anggotanya meletupkan diri di tempat kejadian menggunakan tali pinggan letupan, manakala seorang lagi terselamat.

“Serangan hampir empat jam memusnahkan bangunan konsulat dan membunuh puluhan pekerjanya termasuk dari khidmat risikan murtad Pakistan,” katanya.

Namun, Islamabad mengesahkan pegawai di konsulat itu semuanya selamat.

Serangan itu menyebabkan pelajar sekolah berdekatan melarikan diri ketakutan dari kawasan yang juga berhampiran misi diplomatik India.

Kumpulan Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab atas kejadian itu.

Pejabat luar Pakistan dalam satu kenyataan berkata, mereka sudah berhubung dengan kedutaan di Kabul dan pegawai Afghanistan, tetapi enggan memberi butiran lanjut.

Bulan ini saja, dua lokasi penting India menjadi sasaran iaitu konsulatnya di Mazar-i-Sharif, Afghanistan dan pangkalan tentera udara di Punjab.

Sebuah bom kecil turut meletup berhampiran konsulat India di Jalalabad kelmarin, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Peningkatan keganasan dilihat selepas Perdana Menteri India Narendra Modi membuat lawatan damai mengejut ke Pakistan bulan lalu susulan lawatannya ke Kabul. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 10:21 AM