SEORANG pekerja memberi makan ayam di Biomagg, Depok.
SEORANG pekerja memberi makan ayam di Biomagg, Depok.
Reuters

Jakarta: Indonesia akan mula mengeksport ayam ke Singapura minggu ini bagi menampung kekurangan berterusan bekalan itu di republik berkenaan selepas larangan eksport daripada pembekal utamanya, Malaysia.

Kementerian Pertanian Indonesia berkata, penghantaran pertama membabitkan 50 tan ayam beku bernilai 2 bilion rupiah (RM59,234.60).

Katanya, bekalan itu dijangka berlepas ke Singapura pada 15 Julai ini (hari ini).

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, syarikat ternakan ayam, Charoen Pokhpand Indonesia berkata, pihaknya menjangkakan menghantar 1,000 tan daging ayam ke Singapura menjelang akhir tahun ini.

Katanya, pihaknya akan meningkatkan bekalan mengikut permintaan.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penternak Ayam Indonesia, Achmad Dawami berkata, Indonesia menghasilkan 55 hingga 60 juta ekor setiap minggu dengan lebihan kira-kira 15 hingga 20 peratus selepas penggunaan domestik.

Pada awal bulan lalu, Malaysia yang membekalkan satu pertiga daripada ayam Singapura, menghentikan eksportnya selepas kekurangan makanan global mengganggu pengeluaran dan harga tempatan.

- Reuters

Langkah itu memberi impak kepada Singapura dengan restoran dan gerai jalanan menaikkan harga hidangan nasi ayam.

Larangan itu ditarik balik sebahagiannya ke atas ayam premium tertentu, namun kekal pada ayam daging komersial yang juga sebahagian besar import ayam Singapura dari Malaysia dan jenis produk ayam lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 7:00 AM