MONICA berjaya membuat pendaratan cemas selepas enjin pesawat terbakar  sebaik sahaja berlepas dari Patna.
MONICA berjaya membuat pendaratan cemas selepas enjin pesawat terbakar sebaik sahaja berlepas dari Patna.
Agensi

New Delhi: Bukan hanya cantik, malah juruterbang wanita India ini dipuji kerana keberanian dan kecekapannya mengendalikan pesawat hingga menyelamatkan 185 nyawa.

Monica Khanna membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Patna apabila satu daripada enjin pesawat terbakar sebaik sahaja pesawat SpiceJet Boeing 737 itu berlepas dari Patna, Ahad lalu.

Pesawat itu dilaporkan menuju ke ibu negara bersama 185 penumpang.

Ketua Operasi Penerbangan SpiceJet, Gurcharan Arora berkata, Monica membuat tindakan pantas dengan mematikan enjin yang terjejas sebelum berjaya membuat pendaratan tanpa sebarang kecederaan.

"Kapten Monica Khanna dan pegawai pertama Balpreet Singh Bhatia tenang dan berjaya mengendalikan keadaan dan pesawat dengan baik ketika kejadian itu berlaku.

"Mereka adalah pegawai yang berpengalaman dan kami berbangga dengan mereka," katanya memetik laporan ANI seperti dipetik portal DNA India.

Saksi kejadian berkata, api dalam enjin pesawat itu padam ketika ia menghampiri landasan.

Selepas mendarat dengan selamat, wakil syarikat penerbangan dan pegawai lapangan terbang menyambut Kapten Monica dengan tepukan.

Menurut jurutera, bilah kipas dan enjin rosak akibat dilanggar burung.

Sementara itu, Direktorat Jeneral Penerbangan Awam (DGCA) akan menyiasat lebih lanjut insiden berkenaan.

Berdasarkan beberapa laporan, Monica ialah juruterbang yang berkelayakan tinggi di Spicejet Limited.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 7:00 AM