SEOUL. FOTO fail AFP
SEOUL. FOTO fail AFP
Reuters

Seoul: Korea Selatan akan menarik semula sekatan kuarantin ke atas pengembara tidak divaksin mulai 8 Jun ini.

Lapor agensi berita Yonhap, Perdana Menteri Han Duck-soo berkata, kerajaan masih akan mengekalkan keperluan ujian RT-PCR negatif sebelum kemasukan ke negara itu dan melakukan ujian berkenaan dalam tempoh 72 jam selepas ketibaan.

"Walaupun terdapat kewajipan kuarantin tujuh hari untuk ketibaan pengembara asing yang tidak divaksin sehingga kini, keperluan itu akan dihapuskan mulai 8 Jun tanpa mengira status vaksinasi mereka," katanya dalam mesyuarat tindak balas pandemik.

Menurutnya, kes Covid-19 di negara itu kini semakin stabil.

Han berkata, sebarang peraturan penerbangan yang dikenakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon akan ditarik balik mulai 8 Jun bagi memastikan penerbangan dapat beroperasi tepat pada masanya.

Ini kerana katanya, sekatan semasa ke atas penerbangan dan masa operasi penerbangan menyebabkan kesulitan seperti kekurangan tiket dan kenaikan harga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 9:38 AM