PENUMPANG dari China beratur untuk menjalani ujian saringan Covid-19 ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo. FOTO AP
PENUMPANG dari China beratur untuk menjalani ujian saringan Covid-19 ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo. FOTO AP
AFP

Seoul: China menggantung pengeluaran visa jangka pendek kepada warga Korea Selatan dan Jepun pada Selasa, kata kedutaannya di Seoul dan Tokyo.

Ia sebagai tindakan balas terhadap sekatan yang dikenakan ke atas pelancong China susulan kebimbangan penularan Covid-19.

Langkah itu diumumkan pertama kali di Korea Selatan yang memperkenalkan pelbagai peraturan baharu untuk pelawat dari China, termasuk sekatan visa dan keperluan ujian.

Republik itu menyertai lebih daripada puluhan negara yang mengenakan peraturan perjalanan baharu atas kebimbangan peningkatan jangkitan Covid-19 di China.

"Kedutaan dan konsulat China di Korea akan menangguhkan pengeluaran visa jangka pendek untuk warga Korea," kata kedutaan Beijing di Seoul.

Ia berkata, langkah itu akan dilaraskan semula selaras dengan penghapusan diskriminasi sekatan kemasukan ke atas China oleh Korea Selatan.

China, pada masa ini, tidak mengeluarkan visa pelancong dan memerlukan keputusan negatif ujian Covid-19 untuk semua ketibaan.

Kedutaan Beijing di Tokyo dalam satu kenyataan ringkas pada Selasa menyatakan pengeluaran visa untuk warga Jepun juga akan dihentikan tanpa memberikan alasan atau petunjuk khusus berapa lama langkah itu akan bertahan.

Seoul juga mengehadkan penerbangan dari China dan pelancong dari tanah besar, Hong Kong dan Macau diwajibkan menunjukkan hasil ujian negatif sebelum berlepas.

Dalam pada itu, menteri luar Korea Selatan mempertahankan langkah itu sebagai mengikut bukti saintifik.

Menurut pihak berkuasa, pelawat China turut diuji ketika ketibaan dan dikehendaki kuarantin selama seminggu, jika mereka positif.

Jepun kini mewajibkan pelawat dari China dan Macau untuk melakukan saringan sebelum perjalanan dan semasa ketibaan, satu langkah yang tidak diperlukan untuk pengembara lain pada masa ini.

Penerbangan dari China hanya boleh mendarat di lapangan terbang tertentu, walaupun ketibaan Hong Kong dikecualikan daripada peraturan baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 11:41 AM