FOTO fail menunjukkan penampilan penyampai berita Afghanistan, sebelum pemerintahan Taliban. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan penampilan penyampai berita Afghanistan, sebelum pemerintahan Taliban. FOTO AFP
Agensi

Kabul: Taliban mengarahkan penyampai berita wanita dan wanita lain untuk menutup wajah mereka semasa muncul di kaca televisyen.

BBC News melaporkan, agensi media tempatan diberitahu mengenai arahan terbaharu itu pada Rabu, kata jurucakap polis agama memberitahu BBC Pashto.

Keputusan itu dibuat dua minggu selepas semua wanita diarah memakai selubung muka (face veil) di khalayak ramai atau berdepan hukuman.

Sekatan juga sedang diperketatkan ke atas wanita dan mereka dilarang melakukan perjalanan tanpa penjaga lelaki manakala sekolah menengah pula ditutup untuk perempuan.

Seorang wartawan wanita Afghanistan yang bekerja untuk sebuah stesen televisyen tempatan di sini, yang enggan namanya disiarkan, berkata dia terkejut mendengar berita terkini.

"Mereka memberi tekanan tidak langsung untuk menghalang kami membuat kemunculan di TV.

"Bagaimana saya boleh membaca berita dengan mulut tertutup? Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan sekarang kerana mesti bekerja kerana saya adalah pencari nafkah keluarga," katanya kepada BBC.

Arahan terbaharu itu berkuat kuasa mulai 21 Mei, lapor agensi berita Reuters, memetik jurucakap Kementerian Promosi Kebajikan dan Pencegahan Maksiat.

Jurucakap merujuk keputusan itu sebagai 'nasihat', malah tidak jelas apa berlaku kepada sesiapa yang gagal mematuhinya.

"Berdasarkan maklumat yang diterima oleh berita Tolo, arahan itu dikeluarkan kepada semua media di Afghanistan," katanya.

Keputusan itu dikritik secara meluas di Twitter, dengan ramai yang menggelarnya sebagai satu lagi langkah Taliban untuk mempromosikan ekstremisme.

"Dunia menggunakan pelitup muka untuk melindungi orang daripada Covid-19.

"Taliban menggunakan veil untuk melindungi orang ramai daripada melihat wajah wartawan wanita. Bagi Taliban, wanita adalah penyakit," ciap seorang aktivis.

Saluran berita Shamshad menyiarkan gambar penyampai beritanya memakai selubung muka (face veil), dan imej lain yang serupa dikongsi di media sosial.

Semasa pertama kali mereka berkuasa pada tahun 90-an, Taliban memaksa wanita memakai burqa yang menyeluruh di khalayak ramai.

Selepas merampas semula kuasa Ogos lalu dan berikutan pengunduran tentera asing, Taliban menangguhkan pelaksanaan undang-undang baharu mengenai pakaian yang patut dipakai oleh wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 3:05 PM