PETUGAS melakukan kerja sanitasi di
PETUGAS melakukan kerja sanitasi di
Reuters

Pyongyang: Korea Utara melaporkan lebih 200,000 pesakit baharu mengalami demam untuk hari kelima berturut-turut, ketika negara itu memerangi Covid-19, kata agensi berita Korea Selatan, Yonhap pada hari Sabtu selepas memetik penyiar negara Utara.

Gelombang Covid-19 berterusan yang diisytiharkan minggu lalu mencetuskan kebimbangan mengenai kekurangan vaksin, infrastruktur perubatan tidak mencukupi dan potensi krisis makanan di negara berpenduduk 25 juta yang menolak bantuan luar dan menutup sempadannya.

Sekurang-kurangnya 219,030 orang menunjukkan simptom demam, setakat petang Jumaat.

Ia menjadikan jumlah kes mencecah 2,460,640, lapor Televisyen Pusat Korea (KCTV) memetik data dari ibu pejabat pencegahan wabak kecemasan negeri, menurut Yonhap.

Sementara itu, jumlah kematian meningkat satu kepada 66 orang.

Yonhap tidak menyatakan berapa ramai orang yang sudah disahkan positif Covid-19.

Dengan tiada kempen vaksinasi nasional dan keupayaan ujian terhad, data harian yang dikeluarkan oleh media kerajaan mungkin kurang dilaporkan.

Menurut pakar, ada kemungkinan juga sukar untuk menilai skala gelombang Covid-19.

Agensi hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai akibat yang mengancam 25 juta penduduk.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan penyebaran yang tidak dikawal boleh membawa kepada kemunculan varian baharu yang lebih dahsyat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 11:11 AM