SEKUMPULAN petugas berusaha memadamkan kebakaran di sebuah ladang di Banyuasin, Sumatera Selatan, semalam.
SEKUMPULAN petugas berusaha memadamkan kebakaran di sebuah ladang di Banyuasin, Sumatera Selatan, semalam.
Reuters

Jakarta: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) semalam memberitahu, beliau meminta bantuan Singapura, Russia, Malaysia dan Jepun untuk memadamkan kebakaran hutan yang menjadi punca jerebu yang melanda rantau ini lebih sebulan lalu.

Indonesia sebelum ini dikritik kerana beberapa kali menolak tawaran negara luar termasuk Singapura dan Malaysia untuk membantu memadamkan kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan.

“Kami meminta bantuan dan sudah menerima bantuan daripada Singapura,” kata Jokowi dalam satu kenyataan di laman sesawang Setiausaha Kabinet.

Katanya, beliau juga meminta bantuan Russia, Malaysia dan Jepun.

“Kami berharap ini akan mempercepatkan proses memadamkan api kerana kebakaran di tanah gambut berbeza dengan kebakaran hutan biasa,” jelasnya.

Jokowi tidak menjelaskan bantuan apa yang dihulurkan Singapura, tetapi berharap Singapura dan Russia menghantar tiga pesawat untuk memadam kebakaran.

“Kami memerlukan pesawat yang boleh membawa 12 hingga 15 tan air berbanding kemampuan kami ketika ini sekitar dua hingga tiga tan,” katanya.

Kebakaran di tanah gambut biasanya berlarutan berminggu-minggu kerana api bawah tanah sukar dipadamkan.

Kebakaran hutan di Indonesia yang berlaku hampir setiap tahun itu berpunca daripada aktiviti pembersihan tanah untuk pertanian.

Asap kebakaran hutan itu menyebabkan kualiti udara jatuh ke tahap tidak sihat di sebahagian Indonesia, Malaysia, Singapura dan selatan Thailand.

Jokowi tidak menjelaskan mengapa baru sekarang Indonesia meminta bantuan negara luar selepas beberapa kali menolak tawaran Singapura.

Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi dijangka bertemu rakan sejawatnya dari Malaysia hari ini bagi membincangkan operasi memadamkan kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 6:11 AM