Tun Dr Mahathir (kiri) bersalaman dengan Jokowi ketika menyambut ketibaan Presiden Indonesia itu bersama isteri di Dataran Perdana hari ini. FOTO Bernama
Tun Dr Mahathir (kiri) bersalaman dengan Jokowi ketika menyambut ketibaan Presiden Indonesia itu bersama isteri di Dataran Perdana hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

PRESIDEN Indonesia Joko Widodo diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana Putrajaya hari ini sempena lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

Beliau yang ditemani isteri, Iriana Joko Widodo tiba pada 10.28 pagi dan disambut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta isteri, Tun Dr Siti Hasmah Ali.

Joko Widodo atau dikenali sebagai Jokowi tiba bersama isteri di negara ini semalam.

Selepas lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan, beliau memeriksa barisan kehormatan yang terdiri daripada 106 pegawai dan anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Mejar Mohd Shaiful Amir Omar.

Jokowi kemudian mengadakan kunjungan hormat ke atas Dr Mahathir.

Menurut kenyataan Wisma Putra, ini lawatan pertama Jokowi ke luar negara selepas dipilih semula bagi penggal kedua dalam Pilihan Raya Presiden 17 April lalu.

Indonesia negara jiran paling dekat dan terpenting untuk Malaysia serta rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di peringkat global dan yang ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN selepas Singapura dan Thailand.

Pada 2018, jumlah perdagangan dua hala yang direkodkan RM72.02 bilion (US$17.85 billion), meningkat 7.4 peratus berbanding RM71.51 bilion (US$16.62 billion) pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 11:59 AM