Perarakan pengebumian Abu Akleh bertukar pergelutan selepas diserbu polis Israel. FOTO AFP
Perarakan pengebumian Abu Akleh bertukar pergelutan selepas diserbu polis Israel. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Perarakan pengebumian wartawan Al Jazeera, Shireen Abu Akleh, semalam bertukar pergelutan apabila diserbu Polis Israel.

Rakaman televisyen menunjukkan sebilangan peserta bergelut memastikan keranda Abu Akleh yang sedang diusung, tidak terjatuh ketika polis Israel bersenjatakan belantan, meluru ke arah mereka dan merampas bendera Palestin dibawa orang ramai yang berkabung.

Washington berkata, mereka 'amat bimbang' dengan kejadian itu manakala Kesatuan Eropah (EU) mendakwa terkejut' dengan kekerasan tidak perlu dilakukan polis Israel itu.

Sementara itu, Bulan Sabit Merah Baitulmaqdis melaporkan, sekurang-kurangnya 33 peserta perarakan mengalami kecederaan termasuk enam daripada mereka dimasukkan ke hospital.

Polis Israel pula dilaporkan mengesahkan pihaknya melakukan enam tangkapan manakala pegawai kerajaan mendakwa peserta perarakan 'membaling batu dan botol kaca.'

Isu sama turut mendapat perhatian Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sebulat suara mengutuk pembunuhan Abu Akleh.

"Ia sekali gus menggesa siasatan dilakukan dengan segera, teliti, telus dan tidak berat sebelah," menurut diplomat.

Sementara itu di New York, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, dilaporkan 'terganggu' dengan insiden keganasan ketika perarakan pengebumian berkenaan.

"Guterres begitu terganggu dengan konfrontasi antara pasukan keselamatan Israel dengan warga Palestin yang berkumpul di Hospital St Joseph, dan sikap sebilangan polis di tempat kejadian.

"Beliau supaya menghormati hak asasi manusia, termasuk hak untuk kebebasan pendapat dan bersuara serta perhimpunan aman," menurut jurucakap, Farhan Haq.

Terdahulu, dalam kejadian itu, polis Israel dilaporkan menyerbu orang ramai yang membawa bendera Palestin ketika perarakan membawa keranda Abu Akleh dari Hospital St Joseph di Baitulmaqdis Timur.

Abu Akleh, warga Palestin-AS berusia 51 tahun, ditembak mati ketika membuat liputan operasi tentera Israel di kem pelarian Jenin, Rabu lalu.


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 12:59 PM