SHIREEN Abu Akleh. FOTO AFP
SHIREEN Abu Akleh. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Tentera Israel mengakui buat pertama kali kemungkinan wartawan Palestin-Amerika, Shireen Abu Akleh ditembak mati oleh seorang askar Israel.

"Ada kemungkinan besar Abu Akleh terkena tembakan IDF (Pasukan Pertahanan Israel) secara tidak sengaja yang dilepaskan ke arah suspek yang dikenal pasti sebagai lelaki bersenjata Palestin," kata laporan siasatan akhir tentera berhubung kematiannya pada 11 Mei.

Pengakuan itu dibuat selepas beberapa bulan di mana tentera menegaskan adalah mustahil untuk menentukan punca tembakan maut yang membunuh wartawan terkenal Al Jazeera di Tebing Barat yang dijajah itu, dengan mengatakan ia mungkin tembakan pejuang Palestin.

"Kesimpulan kami ialah tidak mungkin untuk menentukan dengan jelas tembakan mana yang membunuhnya, tetapi ada kemungkinan lebih tinggi dia terkena tembakan salah seorang askar IDF yang tidak mengenal pasti dia sebagai wartawan," kata seorang pegawai kanan tentera Israel.

Shireen , 51, wartawan Al Jazeera kelahiran Baitulmaqdis, terbunuh akibat terkena peluru hidup di kepala pada 11 Mei ketika bertugas melaporkan pencerobohan tentera Israel di kem pelarian Jenin di utara Tebing Barat.

Tragedi itu menerima kecaman hebat antarabangsa.

Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki, bertemu Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Karim Khan di The Hague untuk menyerahkan hasil siasatan mengenai kematian Abu Akleh.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 9:57 AM