GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Reuters

Jakarta: Hampir keseluruhan penduduk Indonesia di Pulau Jawa, kini memiliki antibodi untuk melawan Covid-19.

Susulan tinjauan yang disahkan kerajaan, keadaan ini disebabkan gabungan jangkitan terdahulu dan vaksinasi terhadap virus itu.

Kajian pada Mac lalu terhadap 2,100 orang yang dijalankan di Pulau Jawa yang didiami 150 juta orang dan Bali sebagai destinasi pelancongan utama Indonesia, mendedahkan 99.2 peratus orang mempunyai antibodi Covid-19, iaitu meningkat enam peratus berbanding tinjauan pada Disember.

Ahli epidemiologi Universiti Indonesia, Pandu Riono berkata, tahap antibodi dalam tinjauan terbaharu lebih tinggi disebabkan oleh kempen suntikan penggalak yang lebih luas membolehkan penerima mempunyai perlindungan yang lebih kuat.

Jumlah kes positif di Indonesia turun dengan signifikan sejak melonjak pada Februari lalu yang disumbangkan varian Omicron.

Dianggarkan 60 peratus daripada 270 juta rakyat negara itu sudah divaksin Covid-19.

Pandu berkata, peningkatan antobodi rakyat menyebabkan jumlah kes membabitkan varian Omicron turun mendadak di Indonesia.

Dalam kajian Disember lalu terhadap 22,000 orang seluruh negara menunjukkan 86 peratus memiliki antibodi melawan Covid-19.

Negara majoriti rakyat beragama Islam terbesar di dunia itu sudah melonggarkan banyak sekatan Covid-19, baru-baru ini, termasuk memansuhkan syarat kuarantin bagi pelancong asing.

Selain itu, kerajaan juga menarik balik larangan tradisi pulang ke kampung dan berziarah ketika perayaan Aidilfitri yang disekat dua tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin pada Isnin berkata, tinjauan itu menjadi faktor penilaian kerajaan untuk memberi kelonggaran percutian yang tidak akan memberi kesan negatif kepada rakyatnya.

Kajian itu hampir sama dengan data terkini di Britain dengan peratusan golongan dewasa yang memiliki antibodi Covid-19 hampir 99 peratus pada Mac lalu, menurut Pejabat Statistik Kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 12:28 PM