Perkarangan Masjid Nabawi di Madinah. FOTO NSTP
Perkarangan Masjid Nabawi di Madinah. FOTO NSTP
Agensi

Jeddah: Masjid Nabawi di Madinah, Arab Saudi menerima kira-kira 6.4 juta pengunjung sepanjang 10 hari pertama pada bulan Ramadan tahun ini, kata pegawai pada Rabu lalu.

Jabatan Hal Ehwal Am Masjidilharam dan Masjid Nabawi berkata, 132,345 jemaah juga dapat menunaikan solat di dalam Raudah, lapor The National News.

Ramadan adalah bulan kesembilan dan paling suci dalam kalendar Islam atau Hijrah dan bulan yang mana al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Jabatan itu berkata, pihaknya mengagihkan lebih 1.3 juta botol air zamzam kepada pengunjung Masjid Nabawi dan menyediakan lebih 1.3 juta makanan berbungkus untuk berbuka puasa.

"Presiden (Umum untuk Hal Ehwal Dua Masjid Suci) berminat memberikan keselesaan kepada pelawat dan jemaah untuk menyumbang kepada pembangunan sistem perkhidmatan yang disediakan untuk mencapai aspirasi kepimpinan kerajaan," kata kenyataan itu.

Masjidilharam dan Masjid Nabawi juga menyediakan salinan terjemahan al-Quran.

Langkah itu mengesahkan mesej peradaban dan peranan perintis global kedua-dua tapak suci itu, diarahkan oleh kepimpinan negara, menurut agensi berita negara itu.

Sebanyak 82 skrin digital pelbagai bahasa dipasang di dalam Masjidilharam dan dewannya untuk memaparkan arahan, dengan simbol yang diluluskan secara global untuk membantu penyampaian maklumat secara visual kepada jemaah.

Ia beroperasi sepanjang masa untuk menyampaikan maklumat mengenai tapak terpenting di dalam Masjidilharam, seperti trek tawaf dan Masaa iaitu perjalanan antara dua gunung Safa dan Marwah.

Ia juga memaparkan hadis dan doa yang boleh dibaca pada awal dan akhir tawaf, di samping mendidik pengunjung perkara kesihatan dan keselamatan.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 85 peratus kuota diperuntukkan bagi jemaah dari negara luar untuk musim haji, pada tahun ini.

Saluran televisyen Al-Arabiya yang memetik sumber Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi melaporkan, jumlah itu mewakili sejuta jemaah dari seluruh dunia, dan selebihnya adalah rakyat Arab Saudi.

Ini bermakna kuota bagi jemaah haji domestik tidak melebihi 150,000 orang, manakala 850,000 jemaah lagi adalah dari negara di seluruh dunia, kata sumber itu.

Keputusan itu bertujuan memberi peluang kepada sebilangan besar umat Islam dari seluruh dunia untuk menunaikan haji selepas mengambil kira sekatan yang dilakukan dalam tempoh dua tahun lalu, susulan penularan wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 6:50 AM