PEMANDANGAN Litar Grand Prix Arab Saudi, FOTO Reuters
PEMANDANGAN Litar Grand Prix Arab Saudi, FOTO Reuters
AFP

Jeddah: Arab Saudi berikrar jaminan keselamatan maksimum dikuatkuasakan untuk meyakinkan pemandu Formula One ketika Grand Prix Arab Saudi berlangsung.

Acara itu diteruskan walaupun terdapat serangan ke atas kemudahan minyak berhampiran oleh pemberontak Houthi Yaman.

Pemandu mendedahkan kebimbangan mereka terhadap serangan itu yang menyebabkan asap hitam berkepul ke atas kawasan itu dan menjadi sebahagian daripada gelombang serangan dron dan peluru berpandu yang mencetuskan serangan udara balas terhadap kubu pemberontak.

Pemberontak Houthi yang disokong Iran melepaskan tembakan ke arah 16 sasaran di seluruh Arab Saudi, menandakan tujuh tahun sejak pakatan diketuai Saudi campur tangan menyokong kerajaan di Yaman, negara termiskin di dunia Arab.

Konflik itu membunuh ratusan ribu orang secara langsung atau tidak langsung dan berjuta-juta kehilangan tempat tinggal, mewujudkan apa yang disebut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia.

Selepas beberapa jam berbincang dengan juruterbang, pengetua pasukan dan pegawai Saudi pada hari Jumaat, Formula One dan badan induk FIA, berkata ia menerima "jaminan" perlumbaan di Jeddah boleh diadakan dengan selamat.

"Pihak berkuasa kerajaan Saudi dan agensi keselamatan memberi jaminan penuh dan terperinci acara itu selamat," kata satu kenyataan bersama.

"Ia dipersetujui dengan semua pihak berkepentingan untuk mengekalkan perbincangan yang jelas dan terbuka sepanjang acara dan untuk masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 10:17 AM