KHEMAH menempatkan mangsa gempa bumi di Pasaman Barat, Sumatera Barat. FOTO EPA
KHEMAH menempatkan mangsa gempa bumi di Pasaman Barat, Sumatera Barat. FOTO EPA
AFP

Jakarta: Pasukan penyelamat di Indonesia sedang mengesan dan menyelamat enam orang yang masih hilang selepas gempa bumi kuat menggegarkan Pulau Sumatera yang setakat ini membunuh sekurang-kurangnya lapan orang dan puluhan lagi dilaporkan cedera.

Gempa bumi bermagnitud 6.2 itu melanda utara pulau berkenaan, dikesan pada kedalaman 12 kilometer pada pagi Jumaat, menurut Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS), menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal.

Ia merosakkan ratusan rumah dan bangunan termasuk masjid, sekolah dan bank, memaksa penduduk yang ketakutan berpindah dan menghantar orang tersayang ke tempat selamat di tempat perlindungan sementara.

"Pada masa ini pencarian sedang dijalankan untuk enam orang yang kami ramalkan tertimbus oleh tanah runtuh," kata Abdul Muhari, jurucakap Badan Mitigasi Bencana Nasional (BNPB) Indonesia, dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sekurang-kurangnya 86 individu cedera dalam gempa itu, dengan 10 orang parah, menurut BNPB.

Lebih 6,000 orang dipindahkan di Pasaman Barat dan bandar Pasaman di Sumatera, di mana pekerja penyelamat menggunakan peralatan berat untuk mencari mangsa yang terselamat di dalam runtuhan bangunan, kata agensi itu.

Agensi meteorologi Indonesia memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhi cerun kerana bimbang berlaku tanah runtuh pada kemuncak musim hujan.

Pihak berkuasa di Pasaman Barat mengisytiharkan darurat selama dua minggu sementara usaha mencari dan bantuan diteruskan.

"Orang yang terjejas oleh gempa bumi memerlukan segera kain terpal, khemah, makanan segera, air bersih dan bekalan keluarga," kata Muhari.

Imej yang dikongsi dengan AFP dari bandar Pasaman, berhampiran pusat gempa, menunjukkan sebahagian rumah runtuh dengan batu bata terletak di atas tanah dan berlubang di dinding.

Kediaman datuk bandar juga mengalami kerosakan, dengan kaca pecah di seluruh lantai, menurut ketua BNPB Suharyanto, yang seperti kebanyakan rakyat Indonesia menggunakan satu nama.

Gegaran dirasai sejauh Malaysia dan Singapura.

Indonesia terletak di LIngkaran Api Pasifik, menyebabkan ia sering mengalami gempa bumi.

Pada 2004, gempa bumi bermagnitud 9.1 melanda pantai Sumatera dan mencetuskan tsunami yang mengorbankan 220,000 orang di seluruh rantau ini, termasuk kira-kira 170,000 di Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 2:27 PM