IMEJ BMKG
IMEJ BMKG
Reuters

Jakarta: Gempa bumi bermagnitud 6.1 menggegarkan Jawa Barat pada Khamis, menurut agensi geofizik Indonesia, BMKG.

Ia menyebabkan penduduk berhampiran pusat gempa berlari meninggalkan kediaman.

Gempa itu berpusat 22 kilometer (km) dari Sukabumi, dan pada kedalaman 104 km , namun tidak menyebabkan ancaman tsunami, menurut agensi itu.

Penduduk melarikan diri dari rumah di Sukabumi, berdasarkan video disiarkan saluran berita TVOne.

Gegaran turut dirasai di ibu negara Jakarta dan kawasan sekitarnya, kata saksi Reuters.

Abdul Muhari, pegawai di agensi mitigasi bencana Indonesia BNPB memberitahu Reuters, tiada kerosakan dilaporkan setakat ini, namun agensi masih melakukan penilaian lanjut.

Bulan lalu, gempa bumi bermagnitud 5.6 di Cianjur, juga di Jawa Barat, mengorbankan lebih 300 orang dan menyebabkan kerosakan ribuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 9:51 AM