AFP

Jakarta: Tiga individu terbunuh selepas Bali dilanda gempa bumi dengan kekuatan 4.8 magnitud hari ini.

Agensi bencana alam berkata, gempa yang berlaku pada kedalaman 10 kilometer dari timur laut banjar Wanasari itu mengakibatkan kerosakan ketara.

Dua individu maut selepas gempa berkenaan menyebabkan tanah runtuh di kediaman mereka di Bangli manakala, seorang lagi terbunuh di Karangasem, kata pegawai.

Katanya, jumlah kematian mungkin tidak akan bertambah.

"Gegaran kuat dapat dirasa selama lima saat.

"Orang ramai panik dan lari meninggalkan kediaman mereka ketika gegaran berlaku," kata jurucakap agensi bencana alam, Abdul Muhari.

Pusat gempa yang dikesan berada jauh dari lokasi pelancongan di Bali, yang ketika ini sudah dibuka secara berperingkat untuk pelancong asing.

Orang ramai melakukan carian dalam serpihan bangunan yang runtuh selepas gempa bumi menyebabkan tanah runtuh di Bangli, Bali, Indonesia. - FOTO EPA
Orang ramai melakukan carian dalam serpihan bangunan yang runtuh selepas gempa bumi menyebabkan tanah runtuh di Bangli, Bali, Indonesia. - FOTO EPA

Januari lalu, lebih 100 orang terbunuh dan ribuan yang lain hilang tempat tinggal selepas gempa bermagnitud 6.2 melanda kepulauan Sulawesi.

Tiga tahun lalu, Palu berdepan gempa bumi dengan kekuatan 7.5 magnitud hingga mencetuskan tsunami mengakibatkan lebih 4,300 maut atau hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 1:22 PM