Kakitangan perubatan menjalankan ujian pengesanan Covid-19 di pusat ujian di Seoul. - FOTO AFP
Kakitangan perubatan menjalankan ujian pengesanan Covid-19 di pusat ujian di Seoul. - FOTO AFP
Agensi

Seoul: Jumlah kes baru Covid-19 di Korea Selatan melonjak dengan ketara sehingga hampir mencecah 50,000 hari ini.

Sebanyak 49,567 kes baru jangkitan Covid-19 dilaporkan, termasuk 49,402 jangkitan tempatan.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 kepada 1,131,248, menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA).

Ia juga adalah kali pertama Korea Selatan mencatatkan jumlah harian melebihi 40,000.

Rekod tertinggi sebelum ini adalah 38,689 kes yang dicatat pada Ahad lalu.

Jumlah harian kes Covid-19 melonjak kepada lebih 30,000 buat pertama kali pada 5 Februari, hanya tiga hari selepas melebihi 20,000 kes, dan kekal antara 30,000 hingga 40,000 buat hari keempat berturut-turut.

Malah, kes baru yang direkodkan sudah melonjak hampir tiga kali ganda pada dua minggu yang lalu akibat varian Omicron, yang merangkumi lebih 92 peratus daripada jumlah kes dilaporkan minggu lalu.

Pihak berkuasa kesihatan memberi amaran bahawa jumlah kes harian Covid-19 boleh mencecah 170,000 menjelang hujung bulan ini, meskipun terlalu awal untuk dikatakan sama ada ia akan menjadi kemuncak penularan Omicron.

Setakat 8 Februari, 55.7 peratus penduduk sudah menerima suntikan dos penggalak, manakala 86 peratus penduduk sudah lengkap divaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 6:22 PM