Kakitangan kesihatan mengambil sampel dari seorang lelaki bagi ujian pengesanan Covid-19 di Seoul. - FOTO AFP
Kakitangan kesihatan mengambil sampel dari seorang lelaki bagi ujian pengesanan Covid-19 di Seoul. - FOTO AFP
BERNAMA

Seoul: Fasiliti pengurusan pengebumian di Seoul dilihat semakin sesak berikutan peningkatan ketara kes kematian akibat Covid-19, kata sumber industri.

Kes kematian harian akibat virus itu di Korea Selatan, yang kekal di bawah paras 100 bulan lalu, meningkat kepada 128 pada 2 Mac dan sejak itu telah berada pada trajektori menaik, dengan jumlah harian melonjak ke paras tertinggi baru iaitu 429 pada hari Khamis, menurut Agensi berita Yonhap.

Tidak dapat memenuhi peningkatan mendadak kematian akibat krisis virus, rumah pengebumian, rumah mayat dan krematorium bergelut untuk menerima jenazah baharu.

"Rumah mayat kami, yang boleh memuatkan sehingga 18 jenazah pada satu-satu masa, kini penuh dan tidak boleh menerima jenazah baharu," kata seorang pekerja di Hospital Universiti Nasional Seoul kepada Agensi Berita Yonhap, sambil menambah bahawa keluarga sering terpaksa menunggu berhari-hari untuk ahli keluarga mereka dibakar.

Hospital Severance Universiti Yonsei juga menyaksikan bilik mayatnya sentiasa dipenuhi sejak lonjakan pesakit Omicron dalam dua bulan lalu, kata seorang wakil hospital.

Empat daripada 18 rumah pengebumian yang didirikan di hospital pada Khamis adalah untuk mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Sebanyak 11 ruang pembakaran mayat di Seoul Memorial Park di selatan Seoul juga beroperasi tanpa henti, dengan tempahan penuh sehingga Ahad, tambahnya.

Bagi sesetengah keluarga, proses pengebumian dipanjangkan sehingga enam hari, dua kali ganda berbanding proses biasa iaitu tiga hari, kerana proses menunggu.

"Saya telah bekerja dalam industri pengebumian selama enam tahun tetapi tidak pernah melihat barisan yang begitu panjang untuk pembakaran mayat," Song Jae-myeong, pekerja penyedia perkhidmatan pengebumian Preed Life, memberitahu Agensi Berita Yonhap.

Sementara itu, Korea Selatan terus menyaksikan peningkatan kes Covid-19 iaitu 621,328, pada tengah malam Rabu, angka tertinggi setakat ini dan jumlah kumulatif mencecah 8,250,592 kes, lapor Xinhua.

Angka kes harian meningkat secara mendadak berbanding hari sebelumnya iaitu 400,711, menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA).

Peningkatan kes didorong oleh penularan wabak varian Omicron kebanyakannya di kawasan metropolitan Seoul, Gyeonggi dan Incheon.

Seramai 86.6 peratus penduduk Korea Selatan atau 44,443,726 individu sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19.

Jumlah mereka yang menerima dos penggalak pula seramai 32,185,393 atau 62.7 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 4:58 PM