Orang ramai memakai pelitup muka di tempat awam di Seoul, Korea Selatan. - FOTO Reuters
Orang ramai memakai pelitup muka di tempat awam di Seoul, Korea Selatan. - FOTO Reuters
BERNAMA

Seoul: Kes harian Covid-19 di Korea Selatan hampir mencecah 500,000 hari ini, menjadikan jumlah terkumpul melebihi 10 juta.

Negara berkenaan melaporkan 490,881 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 10,427,247, lapor agensi berita Yonhap memetik Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA).

Jumlah yang dilaporkan hari ini adalah kedua tertinggi, selepas 621,205 kes dilaporkan Khamis minggu lalu.

Jumlah kes terkumpul juga kini sudah melepasi angka 10 juta, yang membawa maksud seorang daripada lima penduduk Korea Selatan sudah dijangkiti Covid-19.

Jumlah kematian akibat Covid-19 mencecah 13,432, meningkat 291 daripada Selasa, kata KDCA. Kadar kematian mencapai 0.13 peratus.

Walaupun anggaran awal bahawa wabak semasa boleh memuncak minggu ini, pihak berkuasa kesihatan memetik kemungkinan ia berterusan disebabkan oleh penyebaran pantas Omicron, yang mempunyai kadar jangkitan 30 peratus lebih tinggi daripada Omicron asal.

Mereka juga memberi amaran terhadap ramalan bahawa jangkitan Covid-19 boleh mencapai kemuncaknya apabila 20 peratus penduduk negara itu dijangkiti.

Kadar penghunian katil hospital untuk pesakit Covid-19 yang sakit tenat mencecah 64.4 peratus pada Rabu, turun 3.4 mata peratusan daripada sehari sebelumnya. Kadar itu masih boleh dikawal dalam kapasiti tindak balas perubatan negara.

Sehingga tengah malam Isnin, 32.45 juta orang daripada 52 juta penduduk, atau 63.2 peratus, telah menerima suntikan penggalak.

Individu yang diberi vaksin sepenuhnya berjumlah 44.46 juta, mewakili 86.6 peratus, kata KDCA.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 5:03 PM