KEROSAKAN akibat tsunami yang melanda pesisir pantai Tongatapu akibat letusan gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha apai 15 Januari lalu. FOTO AFP
KEROSAKAN akibat tsunami yang melanda pesisir pantai Tongatapu akibat letusan gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha apai 15 Januari lalu. FOTO AFP
Reuters

Sydney: Melihat gunung berapi meletus dan tsunami mengganas di depan mata menjadi satu pengalaman yang tidak mungkin dilupakan nelayan ini seumur hidup.

Ketika bencana dashyat itu berlaku Sabtu lalu, Branko Sugar, 61, dan anak lelakinya sedang memancing.

Sugar berkata, udara berbau sulfur seperti seminggu lalu daripada gunung berapi aktif berdekatan, namun dia menyedari asap tebal dari kawah itu lebih gelap daripada biasa.

"Letupan pertama membuatkan ombak datang ke arab bot kami.

"Itu ombak terbesar pernah saya tengok," katanya ketika dihubungi Reuters.

Katanya, tanpa berlengah dia memusingkan bot catamaran yang menggunakan enjin kuasa 400 sepanjang lapan meter, World Cat dan memecut ke memecut ke arah perairan berhampiran Pulau Eueiki.

"Kuasa bot itulah yang menyelamatkan kami. Ombak datang pantas ke arah kami dan membadai pulau induk, namun nasib kami baik apabila berjaya pergi dari situ.

"Selepas itu, hujan batu mula turun dan dalam tempoh seminit langit Pasifik bertukar gelap, asap menyelubungi sana sini, ribut mula menghempas bot dengan angin dan ombak," katanya.

Menurutnya, perjalanan gelap gelita ke rumah yang hanya 19 kilometer mengambil masa tiga jam sebelum sampai ke pelabuhan.

"Banyak bot karam dan terbalik di mana-mana. Kami juga tidak menemui kereta kami kerana dihanyutkan jauh.

"Apabila sudah dijumpai, saya tidak dapat memandu kerana tak nampak akibat mata saya sakit selepas terkena batu ketika memandu bot berjam-jam," katanya.

Letusan gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai mencetuskan tsunami hingga memusnahkan kampung, resort dan bangunan serta memutuskan komunikasi negara yang memiliki kira-kira 105,000 penduduk itu.

Ia juga menghantar ombak dan tsunami ke seluruh Pasifik.

Sehingga kini, pihak berkuasa Tonga mengesahkan, tiga individu terkorban dalam bencana dahsyat dilaporkan pernah berlaku.

Pusat Penerbangan Angkasa Goddard Nasa berkata, kekuatan letusan dianggarkan bersamaan dengan lima hingga 10 megaton TNT atau lebih daripada 500 kali ganda bom nuklear yang dijatuhkan Amerika Syarikat di bandar Hiroshima, Jepun pada akhir Perang Dunia Kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 3:48 PM