EFE

Sydney: Imej satelit terkini menunjukkan gunung berapi di Tonga yang letupan ganasnya menyebabkan tsunami di Lautan Pasifik hujung minggu, hampir hilang.

Letupan yang direkodkan pada hari Sabtu, antara yang paling kuat dalam tempoh tiga dekad.

Gambar terbaru Pusat Satelit Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unosat) mendedahkan letupan gunung berapi Hunga Tonga Hunga Ha'apa menyebabkan hanya dua bahagian kecil tanah yang masih kekal di atas paras laut.

Sebelum letupan kuat itu, terdapat dua bahagian dengan sebahagian daripada puncak gunung berapi di dasar laut air yang jauh lebih besar dan dihubungkan oleh laluan darat dengan jarak sehingga 1.2 kilometer (km)

Saluran komunikasi di Tonga kekal terhad selepas tiga hari letupan gunung berapi yang terletak kira-kira 65km di utara Tongatapu, pulau paling ramai penduduk di negara itu, sehingga menyebabkan tsunami.

IMEJ satelit menunjukkan perbezaan sebelum dan selepas letusan gunung berapi berkenaan. FOTO EPA
IMEJ satelit menunjukkan perbezaan sebelum dan selepas letusan gunung berapi berkenaan. FOTO EPA

Satu kematian sudah disahkan, namun pihak berkuasa menjangkakan angka itu akan meningkat.

Australia dan New Zealand sudah menghantar bantuan menerusi penerbangan ke Tonga yang memiliki 169 pulau dengan populasi seramai 105,000 orang itu.

Kejadian itu juga memberi kesan kepada negara berhampiran seperti Amerika Syarikat, Peru, Jepun dan Australia.

Sementara itu, syarikat AS, Planet yang mempunyai rangkaian 150 satelit mengeluarkan imej udara kemusnahan yang disebabkan oleh tsunami di Tonga, pada Selasa.

"Apabila awan cerah, abu dari gunung berapi Tonga-Hunga Ha'apai kelihatan di Tongatapu," kata syarikat itu dalam mesej di Twitter.

Satu daripada gambar yang dipaparkan menunjukkan penempatan tepi pantai dengan kira-kira 100 bangunan dan hutan berhampiran yang dilitupi abu tebal.

Letupan gunung berapi Hunga Tonga Hunga Ha'apai terletak di antara dua pulau menyebabkan abu tebal masih terkumpul, dan letupannya boleh didengari ratusan kilometer jauh dan dilihat dengan jelas dari satelit di orbit bumi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 3:38 PM