Gambar dari Persatuan Palang Merah Tonga menunjukkan keadaan kediaman di Kanokupolu, barat Tongatapu, Tonga yang dilitupi abu. - FOTO EPA
Gambar dari Persatuan Palang Merah Tonga menunjukkan keadaan kediaman di Kanokupolu, barat Tongatapu, Tonga yang dilitupi abu. - FOTO EPA
AFP

Nuku'alofa: Letusan gunung berapi Tonga menghasilkan kuasa letupan jauh lebih kuat berbanding bom atom di Hiroshima.

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berkata, debu gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai mencapai ketinggian 40 kilometer di atmosfera pada 15 Januari lalu, sehingga mencetuskan gelombang tsunami.

"Kami jangka jumlah tenaga yang dihasilkan daripada letupan gunung berapi itu antara lima hingga 30 megatan (lima hingga 30 juta tan) TNT (bahan kimia Trinitrotoluene)," kata saintis NASA, Jim Garvin, menerusi kenyataan.

NASA berkata, letusan gunung berapi itu beratus-ratus kali ganda lebih kuat daripada bom atom digugurkan Amerika Syarikat (AS) di Hiroshima, Jepun pada Ogos 1945, yang dianggarkan 15 kilotan (15,000 tan) TNT.

Agensi itu berkata, letusan berkenaan memusnahkan kepulauan yang terletak di 65 kilometer utara ibu negara Tonga, Nuku'alofa.

Malah, debu toksik setebal 100,000 lapisan yang terhasil menyelubungi keseluruhan kawasan sehingga meracuni air minuman, memusnahkan tanaman dan melenyapkan sekurang-kurangnya dua kampung.

Bencana berkenaan turut mengorbankan sekurang-kurangnya tiga nyawa di Tonga dan menyebabkan dua individu yang berada di pantai di Peru, lemas selepas dibadai ombak besar di negara Amerika Selatan itu.

Susulan itu, pihak berkuasa Peru mengisytiharkan bencana alam sekitar selepas ombak tsunami membadai sebuah kapal membawa minyak, berdekatan Lima, sekali gus mencetuskan tumpahan minyak di pesisir pantai.

Di Tonga, kemusnahan belum dapat dinilai kerana semua bentuk komunikasi di kepulauan berkenaan dilaporkan musnah.

Wartawan berpengkalan di Nuku'alofa, Mary Lyn Fonua berkata, penduduk tempatan masih menilai apa yang berlaku.

"Ia adalah sesuatu yang tidak pernah ditempuhi penduduk di sini.

"Kesan letupan berkenaan masih menyelubungi kami. Kami baru saja dapat memulakan kehidupan seperti sedia kala," katanya.

Fonua berkata, salutan kotoran kelabu halus yang meliputi segala-galanya terbukti sukar untuk dielakkan dan menimbulkan kebimbangan mengenai isu kesihatan jangka panjang.

"Ia ada di mana-mana. Ia merengsakan mata, menyebabkan luka di sudut mulut. Semua orang mempunyai kuku yang menghitam. Kami kelihatan seperti orang yang kotor.

"Kami memerlukan banjir tropika yang baik untuk membersihkan segala-galanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 8:02 PM