PUSAT ujian saringan Covid-19 dibuka di sebuah terminal bas di Bangkok. FOTO EPA
PUSAT ujian saringan Covid-19 dibuka di sebuah terminal bas di Bangkok. FOTO EPA
BERNAMA

Bangkok: Thailand sedang mempertimbangkan untuk mengenakan semula kuarantin wajib kepada pengembara asing selepas kes varian Omicron pertama membabitkan penularan tempatan dilaporkan pada Isnin.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul berkata, Kementerian Kesihatan Awam akan mencadangkan kepada Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) "dalam masa terdekat" untuk mengenakan semula kuarantin di hotel kepada pengembara yang lengkap vaksin, di bawah program Test & Go.

Sebelum ini, pelancong yang mengikuti program Test & Go tidak perlu menjalani kuarantin.

Beliau berkata, cadangan itu dibuat berikutan kebimbangan mengenai penularan kes Covid-19 varian Omicron.

Anutin turut mengesahkan laporan bahawa penularan tempatan Omicron itu membabitkan seorang wanita tempatan berusia 49 tahun yang diuji positif selepas dijangkiti virus daripada suaminya warga Colombia selepas pulang dari Nigeria pada akhir November.

"Dia mungkin kes penularan tempatan pertama. Ujian lanjut akan dijalankan," katanya dalam rancangan televisyen Inside Thailand.

Thailand sudah merekodkan 63 kes Omicron setakat ini, satu kemungkinan penularan tempatan dan selebihnya kes import.

Beliau menambah 20 lagi "kebarangkalian" kes Omicron masih menunggu keputusan ujian saringan.

Anutin juga mencadangkan semua pelancong yang memasuki kerajaan mesti menjalani kuarantin hotel atau program sandbox, membolehkan mereka bergerak bebas di kawasan dan lokasi tertentu.

Mulai 1 November, Thailand membuka pintu kepada pelawat lengkap divaksin dari 63 negara dan tidak perlu menjalani kuarantin.

Di bawah skim ini, pelawat dibenarkan melawat wilayah lain apabila ujian saringan negatif semasa ketibaan.

Pada Isnin, Thailand melaporkan 2,525 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah kes yang disahkan kepada 2,194,053.

Sementara itu, sebanyak 100 juta dos vaksin Covid-19 sudah diberikan setakat ini termasuk 50.57 juta atau 70.21 peratus penerima dos pertama dan 44.39 juta dos atau 61.63 peratus dos kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 8:28 AM