ORANG ramai berswafoto di satu lokasi beli-belah popular di Bangkok. FOTO EPA s
ORANG ramai berswafoto di satu lokasi beli-belah popular di Bangkok. FOTO EPA s
BERNAMA

Bangkok: Thailand akan melonggarkan lagi syarat perjalanan Covid-19 untuk pelancong antarabangsa mulai bulan depan bagi mengurangkan kos dan memudahkan perjalanan meskipun kes Covid-19 terus meningkat di negara itu.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata, mulai 1 Mac, pelancong yang sudah menerima vaksin tidak perlu melakukan ujian RT-PCR pada hari kelima ketibaan sebaliknya hanya perlu membuat ujian antigen pantas kendiri.

Selain itu, beliau berkata pelancong tidak perlu membuat tempahan hotel untuk menjalani ujian itu.

"Perlindungan insurans perubatan untuk pelancong juga dikurangkan daripada AS$50,000 kepada AS$20,000," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini, semalam.

Pengumuman itu dibuat selepas mesyuarat CCSA yang dipengerusikan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha, semalam.

Pada masa ini, di bawah program Test & Go, pengembara yang lengkap divaksin perlu memohon Pas Kebenaran Thailand sebelum memasuki negara itu, selain perlu membeli insurans perubatan dengan perlindungan minimum AS$50000 (RM209,375) dan keputusan ujian RT-PCR COVID-19, 72 jam sebelum perjalanan.

Selain itu, pengembara perlu membuat tempahan SHA Extra hotel yang diperakui dan ujian RT-PCR Covid-19 pada hari pertama dan kelima.

Thailand membuka pintu sempadannya kepada pengembara lengkap vaksinasi dari 63 negara dan wilayah melalui Test & Go berkuat kuasa November 2021.

Pengembara dibenarkan melawat wilayah lain sebaik sahaja negatif ujian semasa ketibaan. Bagaimanapun, program itu digantung pada akhir Disember berikutan kebimbangan mengenai penularan varian Omicron.

Mulai 1 Februari, Thailand menyambung semula program Test & Go untuk memulihkan semula sektor pelancongannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 1:57 PM