PELANCONG asing menaiki pengangkutan awam untuk ke lapangan terbang di Bangkok. FOTO EPA
PELANCONG asing menaiki pengangkutan awam untuk ke lapangan terbang di Bangkok. FOTO EPA
BERNAMA

Bangkok: Thailand sehingga kini sudah mengesan sebanyak 104 kes Omicron, ketika negara ini mengenakan semula kuarantin wajib antara tujuh hingga 10 hari kepada pelancong di bawah Phuket Sandbox bermula semalam, dalam usaha mengekang penularan varian itu.

Timbalan jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Sumanee Wacharasin berkata, pesakit positif varian Omicron kini menerima rawatan di hospital.

"Sebahagian daripada mereka sudah pulih daripada jangkitan itu," katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini, semalam.

Pada Isnin, Thailand melaporkan penularan tempatan pertama kes Omicron membabitkan seorang wanita tempatan berusia 49 tahun yang dijangkiti virus itu daripada suaminya warga Colombia yang pulang dari Nigeria pada akhir November.

Sementara itu, Sumanee berkata, bermula 1 hingga 21 Disember, Thailand menerima ketibaan 182,578 pelancong termasuk 156,807 pelawat di bawah program Test & Go tanpa kuarantin dan 21,646 pelancong untuk program Sandbox.

Beliau berkata, pada bulan ini, sejumlah 4, 125 pengembara memasuki Thailand dan menjalani kuarantin antara tujuh hingga 14 hari.

"Sehingga kini, seramai 416 pengunjung disahkan positif Covid-19," katanya.

Mulai 1 November, Thailand membuka pintu kepada pengembara lengkap vaksin Covid-19 dari 63 negara dan wilayah.

Sebelum ini pelancong yang mengikuti program Test & Go tidak perlu menjalani kuarantin.

Berikutan kebimbangan terhadap penularan varian Omicron, Thailand memutuskan untuk menangguhkan sementara program kemasukan bebas kuarantin bermula semalam dan tiada permohonan baharu di bawah skim Pas Thailand.

Bagi permohonan yang sudah diluluskan di bawah skim itu, ia tidak tertakluk kepada peraturan baharu itu. Bagaimanapun, mereka perlu menjalani ujian RT-PCR kedua di kemudahan ditetapkan kerajaan.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan dan Jurucakap Kementerian Luar Tanee Sangrat berkata, langkah itu hanya untuk sementara waktu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 8:21 AM