PELANCONG memakai pelitup muka ketika mengunjungi Grand Palace, Bangkok. FOTO Reuters
PELANCONG memakai pelitup muka ketika mengunjungi Grand Palace, Bangkok. FOTO Reuters
BERNAMA

Bangkok: Thailand, semalam, mengumumkan pelaksanaan lebih banyak sekatan dan langkah Covid-19 termasuk melanjutkan penggantungan program kemasukan Test& Go tanpa kuarantin sehingga diberitahu kelak, dalam usaha membendung jangkitan Covid-19.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata, sekatan itu tidak akan menjejaskan pemegang Pas Thailand kerana mereka masih boleh masuk ke negara itu tanpa menjalani kuarantin sehingga 15 Januari.

Menurutnya, permohonan baharu untuk program kuarantin Test & Go tidak akan diluluskan sehingga notis selanjutnya.

"Kami akan melakukan perubahan jika keadaan samakin baik," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mulai 22 Disember, Thailand menghentikan program kemasukan bebas kuarantin Test & Go serta kebanyakan program sandbox kecuali Phuket Sandbox dalam usahanya untuk menghalang penyebaran varian Omicron.

Sementara itu, Dr Taweesin berkata, program sandbox akan diperluas ke pulau peranginan lain - Koh Phang-nga, Krabi, Koh Samui, Koh Tao dan Koh Phangan (wilayah Surat Thani), mulai 11 Jan.

Di bawah program sandbox, pelancong dibenarkan bergerak dengan bebas tetapi perlu kekal di lokasi tertentu selama tujuh hari sebelum melancong ke wilayah lain.

Pengumuman itu dibuat selepas mesyuarat CCSA yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha.

Kes Covid-19 di Thailand terus meningkat dan dalam tempoh 24 jam yang lalu mencatatkan 7,526 kes baharu dan 19 kematian, menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan kepada 2,252,776 kes dan 21,799 kematian.

Sementara itu, Dr Taweesin berkata Thailand juga akan menarik balik larangan masuk kepada pengembara dari lapan negara Afrika - Botswana, Eswatini, Lesotho, Malawi, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe - yang disenaraikan sebagai berisiko tinggi mulai 11 Januari.

Bagi membendung jangkitan tempatan, Dr Taweesin berkata, kedai hiburan kekal ditutup.

Beliau berkata restoran dan kedai makan di lapan wilayah pelancongan termasuk ibu kota Bangkok, Kanchanaburi dan Phuket boleh menyediakan minuman beralkohol sehingga 9 malam mulai Ahad.

Bagaimanapun, 69 wilayah lain dilarang menghidangkan minuman beralkohol.

Selain itu, Taweesin berkata, kerajaan juga menasihatkan sektor awam dan swasta untuk terus bekerja dari rumah sehingga akhir bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 8:28 AM