Kapal persiaran Quantum of the Seas . FOTO EPA
Kapal persiaran Quantum of the Seas . FOTO EPA
BERNAMA

Singapura: Royal Caribbean International, pada Rabu, mengesahkan yang seorang tetamu di atas kapal persiaran 'Quantum of the Seas', diuji positif Covid-19.

Pihak terbabit dalam satu kenyataan menyatakan, ia dikesan oleh pasukan perubatan di atas kapal berkenaan.

"Kami mengenal pasti dan mengasingkan tetamu dan kakitangan yang merupakan kontak rapat dengan tetamu itu, dan setiap individu sudah diuji negatif virus itu," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, kapal itu akan kembali ke pelabuhan pada Rabu mengikut protokol yang ditetapkan kerajaan dan tetamu akan dibenarkan turun selepas proses pengesanan kontak selesai.

Quantum of the Seas adalah salah sebuah daripada program ujian 'persiaran selamat' dilancarkan pada November 2020 dengan protokol keselamatan yang dipertingkatkan.

Program itu bermula pada 6 November bersama 'Genting Cruise Lines World Dream', manakala Quantum of the Seas mula belayar bulan ini.

"Kami sedang berhubung dengan Kerajaan Singapura dan amat berterima kasih dengan panduan mereka pada ketika kami bekerjasama melindungi kesihatan dan keselamatan tetamu dan kakitangan.

"Kami bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi membina satu sistem menyeluruh yang menguji dan memantau kesemua tetamu dan kakitangan dan mematuhi amalan kesihatan awam terbaik.

"Sebab itulah kami dengan cepat dapat mengenal pasti kes terbabit dan mengambil tindakan segera, menunjukkan sistem itu berfungsi seperti yang sepatutnya," menurut Royal Caribbean International.

Ketika mengumumkan pelayaran 'pilot' pada 8 Oktober, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) menyatakan pelayaran satu perjalanan tanpa singgah di mana-mana pelabuhan itu, belayar dengan kapasiti dikurangkan 50 peratus dan hanya terbuka untuk penduduk Singapura.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 1:42 PM