BALI. FOTO AFP
BALI. FOTO AFP
AFP

Jakarta: Indonesia akan membuka kembali pulau peranginan Bali khusus untuk pelancong antarabangsa minggu depan.

Seorang menteri kanan berkata, langkah itu berikutan Bali antara sumber pendapatan utama pelancongan di republik itu.

Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di pulau ini akan dibuka untuk pelancong antarabangsa dari Korea Selatan, China, Jepun, Emiriah Arab Bersatu, Dubai, dan New Zealand pada 14 Oktober, kata menteri maritim dan pelaburan Luhut Panjaitan dalam sidang media.

Pembukaan semula sebahagiannya, bagaimanapun tidak termasuk untuk pelancong dari Australia, salah satu sumber utama pelancong sebelum pandemik.

"Lapangan terbang Ngurah Rai di Bali akan dibuka di peringkat antarabangsa pada 14 Oktober 2021, tetapi pelancong perlu memenuhi kriteria dan syarat mengenai kuarantin, ujian Covid-19," kata Panjaitan. Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan pembukaan itu khas buat pelancong yang mahu mengunjungi pulau itu atau hanya kebenaran mereka yang tinggal secara tetap di sana.

Semua pelancong antarabangsa akan diminta menunjukkan bukti hotel yang ditempah untuk kuarantin sekurang-kurangnya lapan hari dengan perbelanjaan sendiri.

Tetapi masih belum jelas sama ada terdapat sekatan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 10:04 AM