Seorang lelaki Palestin berdoa di pekarangan Masjid al-Aqsa. - FOTO AFP
Seorang lelaki Palestin berdoa di pekarangan Masjid al-Aqsa. - FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Keputusan seorang hakim Israel untuk membenarkan orang Yahudi sembahyang secara 'senyap' di pekarangan Masjid al-Aqsa, mencetuskan kemarahan rakyat Palestin dan dunia Islam.

Kawasan terbabit dikenali sebagai 'Temple Mount' dalam kalangan orang Yahudi, merujuk kepada dua kuil yang didakwa pernah didirikan pada zaman kuno.

Masjid al-Aqsa yang menjadi titik tumpuan dalam konflik Israel-Palestin, terletak di Baitulmaqdis Timur yang dijajah Israel, namun ditadbir oleh Majlis Wakaf Islam (Wakaf).

Wakaf menyifatkan keputusan oleh Hakim Mahkamah Majistret Baitulmaqdis, Bilhha Yahalom, sebagai 'provokasi' yang tidak sah.

Perdana Menteri Palestin, Mohammed Shtayyeh pula memberi amaran kepada Israel supaya tidak melakukan sebarang tindakan untuk menguatkuasakannya.

Keputusan mahkamah itu dibuat susulan petisyen difailkan seorang pendeta Israel, Aryeh Lippo, yang dilarang berada di kawasan terbabit selama dua minggu, 29 September lalu, selepas sembahyang di situ.

Walaupun keberatan, Wakaf membenarkan orang Yahudi mempunyai akses terhad di kawasan Masjid al-Aqsa pada waktu tertentu, yang sekian lama dibantah dunia Islam.

Pada Mei tahun ini, perbalahan mengenai kemungkinan pengusiran di kawasan berdekatan Palestin yang merebak ke pekarangan masjid, mencetuskan tindakan keras Israel sehingga mencetuskan perang 11 hari antara Israel dan pejuang Palestin di Semenanjung Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 5:34 PM