SEORANG lelaki mendukung anaknya untuk meraikan keputusan Israel mengembalikan keadaan di Al-Aqsa seperti sebelum kekacauan meletus. - Reuters
SEORANG lelaki mendukung anaknya untuk meraikan keputusan Israel mengembalikan keadaan di Al-Aqsa seperti sebelum kekacauan meletus. - Reuters
PENDUDUK Palestin meraikan ‘kemenangan’ selepas solat Zuhur yang diadakan di luar pekarangan  Al-Haram Al-Sharif di Kota Lama Baitulmaqdis, semalam. - Reuters
PENDUDUK Palestin meraikan ‘kemenangan’ selepas solat Zuhur yang diadakan di luar pekarangan Al-Haram Al-Sharif di Kota Lama Baitulmaqdis, semalam. - Reuters
JEMAAH menjulang pengarah Masjid Al-Aqsa, Sheikh Omar Kiswani sambil bertakbir sebaik memasuki pekarangan Haram Al-Sharif, semalam.  - AFP
JEMAAH menjulang pengarah Masjid Al-Aqsa, Sheikh Omar Kiswani sambil bertakbir sebaik memasuki pekarangan Haram Al-Sharif, semalam. - AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Penduduk Islam Palestin menamatkan pemulauan dan memasuki Masjid Al-Aqsa buat pertama kali dalam masa dua minggu semalam selepas Israel menarik balik langkah keselamatan kontroversi, sekali gus menamatkan krisis yang mencetuskan kekacauan berdarah.

Ribuan jemaah memasuki pekarangan Haram Al-Sharif, tempat terletaknya Masjid Al-Aqsa dan Kubah Al-Sakhrah, untuk menunaikan solat Asar.

Sebahagian mereka kelihatan menangis ketika memasukinya sementara yang lain bertakbir.

Konfrontasi minit terakhir mengancam memusnahkan rancangan menamatkan pemulauan itu apabila polis Israel mahui menutup satu pintu menuju ke masjid ketiga paling suci umat Islam itu.

Pintu berkenaan ialah tempat dua polis Israel mati ditembak tiga penduduk Palestin pada 14 Julai lalu, kejadian yang menyebabkan rejim itu melaksanakan langkah keselamatan baru.

Pintu itu akhirnya dibuka dan penduduk Palestin mengekalkan rancangan mereka untuk menamatkan pemulauan itu.

Ketegangan berlaku antara Israel dan jemaah di kawasan suci itu walaupun selepas rejim itu mengalihkan pengesan logam Selasa lalu.

Penghadang besi dan perancah tempat kamera dipasang dipunggah awal semalam.

Penduduk Islam enggan memasuki pekarangan itu, sebaliknya menunaikan solat di jalan raya di luar pekarangan berkenaan selepas Israel memasang langkah keselamatan kontroversi itu.

Penduduk Palestin dan umat Islam seluruh dunia menganggap tindakan itu sebagai usaha Israel untuk mengukuhkan penguasaannya terhadap masjid itu dan menghapuskan ciri keislaman di Baitulmaqdis.

Sebagai tindak balas terhadap langkah Israel mengembalikan keadaan seperti sebelum keganasan meletus, Majlis Wakaf Al-Aqsa menggesa jemaah kembali menunaikan solat di masjid itu.

“Laporan teknikal menunjukkan semua halangan yang dipasang penjajah (Israel) di luar Masjid Al-Aqsa sudah ditarik balik,” kata ketua Jabatan Waqf, Abdel-Azeem Salhab.

“Kami menghargai tindakan jemaah menunaikan solat di luar Al-Aqsa sepanjang dua minggu lalu dan kami mahukan pendirian mereka berterusan di luar dan kini di dalam Al-Aqsa,” katanya, menggesa jemaah kembali untuk menunaikan solat di dalam masjid ketiga paling suci umat Islam itu.

Pertubuhan politik Palestin turut mengeluarkan kenyataan menyokong pengumuman itu yang akan membantu meredakan kekacauan.

“Solat akan dilakukan, Insya Allah, dalam Masjid Al-Aqsa,” kata Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pada sidang akhbar di Baitullaham.

Sebelum pengumuman berkenaan, gesaan dibuat oleh beberapa pihak supaya diadakan satu lagi ‘Hari Kemarahan’ hari ini, yang mungkin mencetuskan lebih banyak keganasan.

Keputusan Israel menarik balik langkah keselamatan dibuat selepas usaha diplomatik pelbagai pihak, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kunjungan wakil Asia Barat Presiden Donald Trump dan tekanan daripada negara serantau, khususnya Jordan dan Turki.

Jurucakap Perdana Menteri Israel, Banjamin Netanyahu enggan mengulas mengenai keputusan itu.

Israel menawan Baitulmaqdis Timur, termasuk Kota Lama dan pekarangan Haram Al-Sharif dalam Perang 1967 sebelum mengisytiharkan kawasan itu sebahagian ibu negaranya.

Perisytiharan itu bagaimanapun tidak diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Awal pagi semalam, penduduk Palestin berkumpul di pintu masuk pekarangan Al-Aqsa untuk meraikan penarikan balik saki-baki pemasangan keselamatan.

Sebahagian mereka bersorak, ada yang membunyikan hon kereta dan ada yang membakar mercun sambil diperhatikan tentera Israel.

Firas Abasi berkata, dia amat terharu dengan ‘kemenangan’ yang dicapai.

“Selama 12 hari kami tidak tidur, tidak melakukan apa-apa kecuali untuk berjuang mempertahankan Masjid Al-Aqsa,” katanya.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada Israel akan meneruskan rancangan untuk memasang sistem kamera pintar di Kota Lama Baitulmaqdis bagi menggantikan pengesan logam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 10:54 AM