PERSIAPAN membuka Pulau Bali sedang rancak dilakukan. FOTO AFP
PERSIAPAN membuka Pulau Bali sedang rancak dilakukan. FOTO AFP
Agensi

Jakarta: Persiapan menyambut pelancong luar sedang rancak dilakukan di beberapa pusat peranginan terkemuka di Pulau Bali, Indonesia.

Destinasi pelancongan popular itu mengumumkan pembukaan semula sempadan untuk pelawat asing dari beberapa negara terpilih, bermula Oktober depan.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal dan Pelaburan Maritim, Luhut Pandjaitan berkata, persiapan dilakukan di kepulauan terbabit bagi menyambut kedatangan pelancong.

"Dengan melihat trend semasa (kes Covid-19 di Indonesia), kami sangat yakin untuk membuka Bali pada Oktober ini," katanya.

Sebagai permulaan katanya, kelonggaran itu diberikan kepada negara yang merekodkan kes penularan Covid-19 rendah seperti Korea Selatan, Jepun, Singapura dan New Zealand.

"Semua pelawat ini perlu menjalani kuarantin.

"Bali akan menjadi titik permulaan. Kami tidak terburu-buru membuka Indonesia sepenuhnya untuk pelawat asing," katanya kepada media seperti dipetik portal news.com.au.

Buat masa ini, Indonesia hanya membenarkan warga asing yang memiliki visa diplomatik, bekerja atau memenuhi syarat pengecualian untuk memasuki negara berkenaan,

Pulau Bali sepatutnya dibuka pada Julai lalu, namun peningkatan kes menyebabkan rancangan itu ditangguhkan seketika.

Dilaporkan, ketika kemuncak kes pada Julai lalu, Indonesia merekod lebih 50,000 kes baharu Covid-19 setiap hari.

Namun, jumlah kes baharu harian semakin menurun.

Isnin lalu, Indonesia merekodkan 1,932 kes baharu Covid-19, iaitu angka terendah sejak Ogos tahun lalu.

Menteri Kanan, Luhut Pandjaitan berkata, Indonesia yang pernah menjadi pusat penularan Covid-19 Asia, merekodkan hampir 4.2 juta jumlah kes jangkitan dan lebih 140,000 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 7:00 AM