KANAK-KANAK menerima suntikan vaksin Covid-19 di Jogjakarta. FOTO AFP
KANAK-KANAK menerima suntikan vaksin Covid-19 di Jogjakarta. FOTO AFP
BERNAMA

Jakarta: Indonesia senantiasa menilai langkah-langkah keselamatan sedia ada untuk melindungi rakyatnya daripada Covid-19 dan varian Omicron selepas kes pertama membabitkan varian baharu itu dikesan di republik itu minggu lepas.

Beberapa langkah yang sedang dibincangkan termasuk melanjutkan kuarantin wajib untuk ketibaan antarabangsa kepada 14 hari berbanding 10 hari.

"Perbincangan sedang berjalan berdasarkan kepada perkembangan situasi varian baharu itu," kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan.

Beliau berkata, pihak berkuasa mungkin membuka Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya sebagai pintu masuk kedua untuk pengembara antarabangsa berikutan peningkatan ketibaan jumlah pelancong di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta Jakarta.

Luhut meminta pegawai negeri dan rakyat supaya tidak melancong ke luar negara, sekurang-kurangnya sehingga keadaan Covid-19 bertambah baik.

Sementara itu, Indonesia menambah lebih banyak negara ke dalam senarai larangan kemasukannya pada Isnin, selepas tiga kes import varian Omicron dikesan dengan sejarah perjalanan dari Nigeria, Amerika Selatan dan United Kingdom (UK).

Negara yang dimasukkan ke dalam senarai merah ialah UK, Norway, dan Denmark, manakala Hong Kong dikeluarkan daripada senarai.

Sebelum ini, Indonesia telah mengenakan larangan kepada bukan warganegara yang dalam tempoh 14 hari lepas pernah mengunjungi Afrika Selatan, Botswana, Namibia, Zimbabwe, Lesotho, Mozambique, Eswatini, Malawi, Angola dan Zambia.

Di peringkat domestik, pentadbiran Presiden Joko Widodo melanjutkan sekatan aktiviti awam di luar Jawa dan Bali sehingga sekurang-kurangnya 3 Januari 2022 disebabkan cuti Krismas dan Tahun Baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 1:43 PM